Ahad, 4 March 2018 | 7:08pm
KAFA berpuas hati dengan pencapaian pemangku jurulatih TRW, Yusri Che Lah apabila berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan dikendalikannya. - Foto Kelantan FA

KAFA terus beri kepercayaan pada Yusri

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan terus memberi kepercayaan kepada Yusri Che Lah mengemudi skuad The Red Warriors (TRW) sehingga saingan Liga Super berhenti rehat selama dua minggu, bermula 12 Mac ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pencapaian pemangku jurulatih kelahiran Perlis itu apabila berjaya mencatat kemenangan dalam dua perlawanan dikendalikannya sebelum ini.

"Kita berpuas hati dengan kemampuan Yusri yang bertindak berani mengubah corak permainan pasukan sehingga mencipta dua kemenangan.

"Kita yakin beliau mampu mengekalkan prestasi baiknya itu," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Yusri yang sebelum ini bertugas sebagai penolong ketua jurulatih, diberi tanggungjawab mengendalikan skuad TRW selepas KAFA memecat pembimbing, Sathit Bensoh.

Ia selepas jurulatih dari Thailand itu gagal menghadiahkan kemenangan kepada Kelantan dalam tiga perlawanan pertama Liga Super musim ini.

Bibi Ramjani berkata KAFA akan mengadakan perjumpaan dengan pemain bagi membincangkan beberapa perkara termasuk mengenai jurulatih dan lebihan pemain yang berada dalam pasukan ketika ini.

Katanya, pemain dilihat semakin selesa dengan Yusri namun, pihaknya mahu mendengar pendapat dan masalah mereka berkaitan perkara itu sebelum pemilihan jurulatih dibuat.

"Daripada segi lebihan pemain pula kita akan menilai laporan bulanan yang dibuat barisan jurulatih.

"Jika laporan tidak memuaskan kita akan berbincang dengan pemain itu dan tindakan akan diambil sama ada mereka akan dipinjamkan atau digugurkan bagi mengelak kita menanggung bebanan kewangan," katanya.

Sementara itu, Bibi menafikan akan menggugurkan seorang daripada dua pemain penyerang import Kelantan iaitu Mohammed Ghaddar dan Bruno Lopes pada jendela perpindahan kedua pemain pada pertengahan musim ini.

"Ia tidak berasas. Kita tidak melakukan perbincangan dengan mana-mana kelab untuk meminjamkan pemain terbabit dan kelab yang dinyatakan itu kita tidak kenal.

"KAFA akan melakukan perbincangan dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran berita palsu itu kerana ia menjatuhkan moral pemain yang dikaitkan serta memecah belahkan pasukan," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang mendakwa dua pemain import itu akan digugurkan atau dipinjamkan kepada kelab lain, selain KAFA turut didakwa bakal membawa masuk dua pemain import baharu dari Filipina dan Singapura.

Sebagai rekod, selepas Yusri memangku tugas ketua jurulatih, TRW melakarkan kemenangan pertama dalam saingan Liga Super dengan menewaskan Perak 3-2 dan mengalahkan Terengganu City FC 2-0 pada pusingan kedua Piala FA - BERNAMA

34 dibaca
Berita Harian X