Selasa, 6 March 2018 | 6:42pm
PEMAIN pertahanan Negeri Sembilan, L Kalaiharasan akan terus bersaing dengan rakan lain untuk berada dalam barisan kesebelasan utama. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Tak rela berputih mata

SEREMBAN: Statusnya sebagai pemain muda membuatkan L Kalaiharasan terpaksa bekerja lebih keras untuk memastikan kedudukannya sebagai pilihan kesebelasan utama terus kekal di bawah ketua jurulatih baharu, Mohd Azraai Khor Abdullah. 

Bagi pemain pertahanan tengah Negeri Sembilan berusia 21 tahun itu, inilah detik terbaik untuk memikat hati Azraai yang dikatakan gemar melihat pemainnya bersaing sesama sendiri untuk mendapat tempat. 

"Walaupun pertama kali mengikuti latihan di bawah bimbingan beliau, saya akui amat teruja dengan corak latihan serta pendekatan Mohd Azraai. Saya yakin ia dapat meningkatkan lagi tahap persembahan saya. 

"Sebagai pemain muda, saya perlu bersaing dengan rakan lain untuk berada dalam barisan kesebelasan utama, namun setakat ini saya berpuas hati dengan peluang diberikan jurulatih dan saya akan terus bekerja keras memastikan tahap prestasi meningkat. 

"Saya tidak rela pasukan terus berputih mata untuk meraih kemenangan selepas gagal dalam Piala FA dan berharap kami mampu bangkit mencipta kemenangan pada pertembungan dengan Pahang, Sabtu ini," katanya selepas sesi latihan, hari ini. 

Kalaiharasan adalah antara empat pemain Piala Presiden yang mendapat pengiktirafan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dinaikkan pangkat untuk menyertai skuad senior bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini. 

Mengulas lanjut mengenai aksi di Stadium Darul Makmur Kuantan, Sabtu ini, bekas kapten Piala Presiden Negeri Sembilan itu berkata, dia yakin corak persembahan skuad Hobin Jang Hobin akan lebih menyerlah selepas mendapat sentuhan Azraai.

"Kami sedar aksi bertemu Pahang nanti adalah suatu tugas getir, tambahan pula kami bertandang ke gelanggang lawan. Namun melalui strategi terbaru yang dibawa Mohd Azraai, diharap kami mampu menafikan kehebatan Pahang.

"Apa yang penting, saya dan rakan sepasukan perlu memberikan persembahan terbaik dengan memastikan strategi diatur jurulatih itu diterjemahkan dengan baik bagi mencapai kemenangan.

"Kami perlu menang ke atas Pahang untuk membolehkan pasukan dapat terus bersaing dalam liga kerana satu kemenangan daripada empat perlawanan setakat ini bukanlah suatu pencapaian mengembirakan," katan pemain kelahiran Port Dickson ini. 

Berita Harian X