Khamis, 8 March 2018 | 12:20pm
KETUA jurulatih PBNS, Mohd Azraai Khor mahu pemain import pamer sentuhan berbisa. - FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Azraai tagih bisa awang import

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak menolak kemungkinan mengkaji semula kedudukan pemain import sedia ada andai mereka gagal memberi sumbangan terbaik kepada pasukan.

Selepas seminggu mengendalikan skuad sebaik mengambil alih jawatan daripada pengendali Jerman, Jorg Steinebrunner, beliau sudah dapat menghidu beberapa kelemahan yang ada.

Pengendali berusia 65 tahun itu berkata, setakat ini pihaknya akan terus memberikan peluang kepada pemain import untuk memperaga aksi terbaik masing-masing sepanjang fasa pertama Liga Super.

Katanya, pihaknya sedang meneliti prestasi dan sumbangan pemain terbabit sejauh mana mereka dapat membantu pasukan dalam usaha mendapatkan kemenangan.

"Setakat ini saya akan terus bagi mereka peluang menunjukkan persembahan, namun amat penting mereka perlu ada kesungguhan untuk membantu pasukan mencapai kemenangan.

"Kita akan nilai sebelum membuat sebarang keputusan menjelang pendaftaran kedua pemain import mulai 14 Mei sehingga 10 Jun depan.

"Apapun, saya akan berbincang dengan pengurus, Datuk Mohamad Haslah (Mohamad Amin) supaya satu keputusan terbaik dapat dilakukan dalam usaha memantapkan lagi kekuatan pasukan.

"Walaupun saingan liga masih panjang, namun ketika ini kita tidak boleh leka dan perlu pastikan pasukan dapat mengutip mata dalam setiap perlawanan," katanya ketika ditemui, semalam.

Ketika ini, Negeri Sembilan mempertaruhkan lima pemain import iaitu Kim Do Heon dari Korea Selatan, Flavio Beck Junior (Brazil), Nicolas Velez (Argentina), Prak Mony Udom (Kemboja) dan Renars Rode (Latvia).

Mengulas pertemuan dengan Pahang di Stadium Darul Makmur, Sabtu ini, bekas pengendali kebangsaan itu menyifatkan ia perlawanan yang sukar.

Beliau bagaimanapun yakin menerusi persiapan rapi dan semangat juang pemain, skuad Hobin Jang Hobin mampu memberikan saingan dan seterusnya mencapai keputusan positif di gelanggang lawan.

"Saya berharap pemain dapat kekal fokus dan tunjukkan persembahan terbaik sepanjang permainan agar keputusan baik dapat dibawa pulang," katanya.

46 dibaca
Berita Harian X