Khamis, 15 March 2018 | 10:06am
MBAPPE (tengah) diasak pemain Angers. FOTO/REUTERS

Dua gol Mbappe julang PSG

PARIS: Kylian Mbappe meledak dua gol ketika pendahulu Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan Angers 2-1 dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Sekali pun kehilangan pemain tengah veteran, Thiago Motta yang dilayangkan kad merah di awal permainan, pemain Perancis berusia 19 tahun itu membuktikan kualitinya apabila menjaringkan kedua-dua gol pada babak pertama.

Motta diarah keluar padang seawal minit ke-16 selepas melakukan kekasaran ke atas pertahanan Angers, Romain Thomas pada aksi di Parc des Princes itu.

Tetapi empat minit sebelum itu, Mbappe sudah pun meletakkan PSG di depan susulan penyudah cukup baik selepas menerima hantaran Julian Draxler.


PEMAIN PSG meraikan kemenangan. FOTO/AFP

Ketiadaan Motta juga tidak menghalang pemain muda sensasi itu meledak gol keduanya pada minit ke-26 berpunca daripada gerakan Layvin Kurzawa sekali gus menambah jumlah jaringannya kepada 13 musim ini.

Angers yang dibimbing Stephane Moulin cuba bangkit apabila penjaring terbanyak mereka, Karl Toko Ekambi merapatkan kedudukan pada minit ke-75.

Mbappe hampir menjaringkan hatrik ketika permainan berbaki tujuh minit tetapi cubaannya sedikit tersasar dengan penjaga gol PSG, Kevin Trapp berjaya menafikan cubaan Toko Ekambi di lewat permainan.

Kemenangan adalah yang ke-16 berturut-turut buat PSG di laman sendiri yang menyaksikan skuad kendalian Unai Emery itu memiliki kelebihan besar 17 mata di depan pasukan tangga kedua, Monaco.

"Kami mahukan gelaran dan kami terus berada di landasan untuk mendapatkannya. Kejuaraan amat penting kerana ia memberi gambaran terhadap tahap konsisten kami sepanjang musim ini," kata Emery.

"Saya fikir pasukan menampilkan reaksi yang baik terhadap ketiadaan Motta. Kami bergelut pada minit-minit terakhir tetapi kami layak untuk meraih kemenangan. Saya amat gembira dengan tindak balas pasukan hari ini." 

PSG selepas ini turut dijadual bertemu Monaco pada final Piala Liga di Stade de France, 31 Mac ini. - AFP

Berita Harian X