Khamis, 15 March 2018 | 11:05am
LEGENDA bola sepak negara Mohd Raimi Mohammed Jamil (kanan) dikunjungi bekas mendapat rakan sepasukannya ketika mewakili negara era 80-an Razip Ismail (tengah) dan Akob Hitam. - Foto Ihsan Mohd Raimi Mohammad Jamil
LEGENDA bola sepak negara Mohd Raimi Mohammed Jamil (kanan) dikunjungi bekas mendapat rakan sepasukannya ketika mewakili negara era 80-an Razip Ismail (tengah) dan Akob Hitam. - Foto Ihsan Mohd Raimi Mohammad Jamil

Raimi sedar tapi lemah

KUALA TERENGGANU: Legenda bola sepak negara era 80-an, Mohd Raimi Mohammed Jamil, 55, sudah sedar namun keadaannya masih belum stabil selepas menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,  Isnin lalu. 

Menurut isteri Raimi, Rinawati Halan, 38, walaupun suaminya sudah kembali sedar tetapi ada ketikanya dia kelihatan cemas dan separuh sedar. 

"Suami sudah sedar tetapi tidak sepenuhnya, ada ketika apabila sedar dia kelihatan cemas dan tidak bermaya serta tahap kemajuannya terlalu perlahan. 

"Selain itu paras oksigennya juga bawah 100 peratus serta demam manakala badan sebelah kirinya langsung tidak ada tindak balas. 

"Doktor yang merawatnya memaklumkan tidak dapat melakukan imbasan lagi terhadap suami untuk membuktikan sama ada dia kena strok atau sebaliknya. 

"Doktor juga memaklumkan kemungkinan oksigen tidak sampai ke bahagian otak secukupnya untuk suami menggerakkan bahagian badan sebelah kiri selain tidak ada tindak balas yang positif. 

"Keupayaan jantung juga lemah iaitu menyusut kepada 30 peratus dan terpaksa menggunakan mesin untuk langkah berjaga-jaga sekiranya jantung terhenti.

"Bagaimanapun doktor ada memaklumkan kemungkinan akan mengambil masa untuk melepaskan tiub oksigen dan kembali normal, " kata Rinawati. 

Terdahulu bekas legenda bola sepak Terengganu era 80-an dan 90-an itu selamat menjalani pembedahan pintasan jantung selama tujuh jam sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi untuk rawatan selanjutnya. 

Bekas 10 penjaga gawang terbaik Asia itu sepatutnya menjalani pembedahan jantung itu pada bulan lalu tetapi disebabkan keadaan jantungnya tidak stabil menyebabkan pembedahan itu ditangguhkan. 

Pada Januari lalu Raimi yang pernah berguru ilmu penjaga gol di England dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini selepas tidak sedarkan diri sebelum dirujuk di IJN untuk rawatan lanjut. 

"Besar harapan saya memohon peminat sukan bola sepak negara mendoakan kesihatan suami dan cepat sembuh kerana tahap perkembangannya selepas pembedahan kini agak perlahan, " kata Rinawati.

Berita Harian X