Khamis, 15 March 2018 | 1:04pm
SATHIA mahu setiap persatuan lebih profesional.

Sathia kecam tindakan persatuan

Kuala Lumpur: Tindakan pasukan yang berselindung di sebalik istilah 'rehat' untuk menyingkirkan jurulatih dianggap sebagai pengecut serta tidak profesional.

Malah Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, istilah itu tidak pernah wujud dalam kamus bola sepak sebaliknya kerap diguna pakai di Malaysia.

"Apa maksud mereka 'merehatkan' jurulatih? Kalau ikut fahaman saya, jurulatih hanya direhatkan hanya atas sebab tertentu seperti masalah kesihatan atau mengambil cuti.

"Tapi, kalau direhatkan kerana prestasi pasukan tidak memuaskan sesuatu yang sangat janggal. Adakah mereka bermaksud selepas direhatkan beberapa perlawanan atau beberapa bulan, jurulatih berkenaan akan dikembalikan semula tugas itu?

"Belum ada dalam sejarah bola sepak jurulatih direhatkan kerana prestasi kemudian ditugaskan semula. Kalau benar, mana jurulatih itu hendak letak muka di depan pemain? Dia tidak akan dihormati lagi," kata Sathia.

Beliau berpendapat, setiap pasukan perlu mengambil pendekatan lebih profesional serta  telus bila menangani isu sebegini.

"Mengapa mereka takut hendak berterus-terang bahawa khidmat jurulatih itu sudah tidak diperlukan dengan berselindung di sebalik perkataan 'rehat'. Ini satu tindakan pengecut dan tidak profesional.

"Tidak perlu kita hendak menunjukkan sifat budi bahasa dengan menggunakan perkataan 'rehat' yang kononnya lebih diplomatik bagi menggantikan  perkataan 'disingkir' yang dikatakan kasar.

"Kalau mereka sudah tidak perlukan khidmat jurulatih itu, berterus-terang sahaja. Kemudian, kedua-dua pihak boleh duduk semeja untuk berunding jalan terbaik untuk jurulatih itu dilepaskan," katanya.

Pengendali Selangor, P Maniam merupakan mangsa terbaru direhatkan selepas pasukan itu mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Liga Super.

Tugas beliau kini dipangku oleh penolongnya, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.

Sementara itu Maniam ketika dihubungi berkata beliau akur dengan keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) merehatkan dirinya.

"Mereka masih majikan saya kerana kontrak saya masih berbaki sehingga akhir tahun. Saya akur walau apa pun keputusan mereka. Buat masa sekarang saya akan berehat daripada tugas sebagai jurulatih Selangor seperti diputuskan," kata Maniam.

 

Berita Harian X