Khamis, 15 March 2018 | 6:03pm
PENGENDALI Selangor, P Maniam menerima keputusan pihak tertinggi pengurusan FAS, namun enggan mengulas mengenai tindakan berkenaan. - Foto Osman Adnan

'Saya terima apa sahaja'

KUALA LUMPUR: Pengendali Selangor, P Maniam menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menentukan nasibnya selepas direhatkan, berkuatkuasa semalam.

Jelas bekas jurulatih pasukan Air Asia FC itu yang berusia 49 tahun, dia menerima keputusan pihak tertinggi pengurusan FAS, namun enggan mengulas mengenai tindakan berkenaan yang dibuat susulan prestasi merudum Merah Kuning meskipun membuka kempen Liga Super musim ini dengan dua kemenangan.

"Maaf, saya tidak mahu mengulas panjang kerana semua sudah tahu saya direhatkan. Itu keputusan yang dibuat pihak pengurusan.

"Kami mungkin bertemu selepas ini untuk membincangkan mengenai beberapa perkara berkaitan.

"Begitupun, apa sahaja keputusan, baik atau buruk, saya terima," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, terma 'direhatkan' yang sering digunakan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) memberi bayangan khidmat Maniam kemungkinan besar tidak diperlukan seperti mana kebanyakan jurulatih yang direhatkan sebelum ini apabila mereka tidak kembali mengendalikan pasukan.

Semalam, Maniam yang juga bekas pemain skuad The Red Giants era 1990-an bakal menjadi 'mangsa' ketiga yang perlu melepaskan jawatannya musim ini selepas FAS mengambil keputusan merehatkan Maniam susulan tiga kekalahan berturut-turut dalam saingan liga.

Setakat ini, dua jurulatih pasukan Liga Super sudah 'terkorban' meskipun saingan baru memasuki lima perlawanan.

Sathit Bensoh dipecat oleh Kelantan manakala pengendali Negeri Sembilan, Jorg Steinebrunner meletakkan jawatan sebelum digantikan Mohd Azraai Khor Abdullah.

Perkembangan membabitkan Maniam itu disahkan Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad yang menegaskan keputusan berkenaan terpaksa diambil selepas penilaian menyeluruh dibuat mengenai kemerosotan prestasi Selangor, sekali gus menyaksikan tugas mengendalikan pasukan diserahkan kepada pembantu jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir sebagai pemangku. 

"Kami sudah berbincang hari ini dan selepas meneliti prestasi keseluruhan pasukan, kami mengambil keputusan untuk merehatkan Maniam. Keputusan ini bukan keputusan individu tetapi dicapai secara kolektif. 

"Namun, kami belum membincangkan untuk mendapatkan jurulatih baharu kerana prestasi pasukan perlu dinilai terlebih dahulu. Sebarang keputusan lanjut akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Berita Harian X