Khamis, 15 March 2018 | 9:38pm
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Selangor, Datuk Seri Subahan Kamal mengulas keputusan merehatkan P Maniam susulan tiga kekalahan berturut-turut The Red Giants. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Keinginan pemain paling penting - Subahan

KUALA LUMPUR: "Kalau saya bawa (Jose) Mourinho atau Pep (Guardiola) tapi pemain tak ada (semangat) nak main, tak kemana juga."

Demikian komen Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal mengulas keputusan merehatkan P Maniam susulan tiga kekalahan berturut-turut The Red Giants dalam saingan Liga Super.

Tegas Subahan, meskipun belum ada sebarang keputusan untuk melantik jurulatih baru atau sebaliknya, namun beliau berpendapat tidak guna mencari pengganti terbaik seandainya pemain itu sendiri tidak mempunyai keinginan tinggi ketika turun beraksi.

"Ini semua terpulang kepada pemain. Bagi saya mudah, mana-mana jurulatih adalah lebih kurang sama saja.

"Hanya pemain yang perlu mengguna pakai maklumat yang diberikan. Kalau jurulatih beri maklumat dan pemain tak dapat terjemahkan dalam 90 minit permainan, jurulatih sudah tidak boleh buat apa-apa.

"Jadi setiap pemain perlu pastikan mereka dapat beraksi dengan baik dan paling penting adalah keinginan untuk menang.

"Inilah formula yang sedang dicari di Selangor," katanya yang juga Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas majlis penyerahan Sistem Analisis Prestasi Sukan Institut Sukan Negara (ISN)-MHC hari ini.

Tegas Subahan, dalam konteks pemain, beliau berpendapat Selangor mempunyai barisan pemain berkualiti baik tenaga tempatan atau import.

"Tapi seperti yang saya katakan tadi, keinginan mereka untuk menang yang tak berapa nampak.

"Sebab kita bermula baik pada dua perlawanan pertama. Tetapi selepas itu sudah macam hilang haluan pula," katanya.

Subahan mengesahkan pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat dalam tempoh dua minggu lagi untuk membuat keputusan langkah seterusnya.

Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad menerusi laporan Sukan NSTP hari ini berkata, keputusan untuk merehatkan Maniam diambil selepas penilaian menyeluruh dibuat mengenai kemerosotan prestasi Selangor.

Ketika ini, tugas mengendalikan pasukan diserahkan kepada pembantu jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir sebagai pemangku.

Berita Harian X