Sabtu, 17 March 2018 | 11:37am
PEMAIN Terengganu FC, Tchetche Kipre (tengah) membuat asakan ke gawang pihak lawan ketika menentang Selangor pada perlawanan Piala FA Malaysia 2018 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. -Foto ROZAINAH ZAKARIA

Nazliazmi terkejut aksi Selangor

KUALA TERENGGANU: Pemangku ketua jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir menyifatkan perubahan taktikal yang diterapkan menjadi elemen penting di sebalik kejayaan menjinakkan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi pusingan ketiga Piala FA, malam tadi.

Malah, beliau mengakui terkejut dengan aksi bertenaga dan tersusun dipamerkan pemain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu walaupun dihimpit dengan masalah dalaman selepas ketua jurulatih, P Maniam 'direhatkan'.

"Walaupun masih dihantui kekalahan besar 1-4 kepada lawan dalam saingan Liga Super sebelum ini, pemain jelas tidak tertekan, sebaliknya tampil dengan aksi meyakinkan dan memperagakan semangat juang tinggi untuk menebus kekalahan itu.

"Saya tidak sangka boleh menang 3-1 kerana Terengganu pasukan yang kuat di setiap posisi. Jadi, tiga gol yang dihasilkan itu membuatkan saya terkejut dan saya mengucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya membawa pasukan mara ke suku akhir," kata Nazliazmi yang juga bekas pemain PKNS FC dan PROTON FC.

Walaupun ketinggalan menerusi jaringan Mohd Shahrul Aizad Zulkufli, Selangor bangkit dengan dua gol menerusi Rufino Segovia manakala satu jaringan lagi dihasilkan Evan Dimas sekali gus mara ke suku akhir.

Mengulas lanjut, Nazliazmi yang juga bekas jurulatih Piala Presiden Selangor mengakui sokongan padu pihak pengurusan selain kerjasama erat dalam kalangan pemain adalah antara kunci utama kejayaan pasukannya beraksi cemerlang.

"Saya berterima kasih kepada pihak pengurusan yang memberi kepercayaan kepada saya membimbing pasukan. Saya harap kemenangan ini menjadi tonik terbaik kepada pemain untuk bangkit terutama selepas tewas tiga perlawanan Liga Super berturut-turut," katanya.

Berita Harian X