Ahad, 18 March 2018 | 2:38pm
BIBI Ramjani (kiri) menandatangani kontrak lantikan Fajer Ibrahim sebagai Pengarah Teknikal TRW bagi mengharungi saingan Liga Super, musim ini. -Foto Ihsan KAFA

Kelantan lantik Fajer Pengarah Teknikal

KOTA BHARU: Selepas gagal menempah slot ke suku akhir Piala FA malam tadi, Kelantan terus melakukan tindakan pantas dengan mengikat bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajer Ibrahim sebagai Pengarah Teknikal berkuat kuasa serta merta.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, jurulatih kelahiran Damascus yang akan memulakan tugas, hari ini diharap dapat membantu dalam merencana strategi yang lebih ampuh untuk mengembalikan semula kekuatan The Red Warriors (TRW).

"Saya tidak menolak kemungkinan beliau juga boleh mengambil tugas sebagai ketua jurulatih pasukan," kata Bibi Ramjani ketika dihubungi.

"Namun, apa yang diharapkan daripada keputusan ini, ia akan dapat memenuhi syarat yang sepatutnya untuk membentuk sesebuah pasukan dan mampu menjadi lonjakan perubahan dalam TRW."

Fajer sebelum ini menjadi antara tiga calon ketua jurulatih baharu TRW selepas KAFA memecat pengendali kelahiran Thailand, Sathit Bensoh pada 15 Februari lalu.

Untuk rekod, Fajer memulakan karier sebagai jurulatih pada tahun 2006 dengan pasukan kebangsaan Syria selama empat tahun serta pernah mengemudi kelab dari negara itu, Al-Shorta dan dua kelab Iraq, Al-Minna dan Duhok.

Ditanya mengenai kekalahan 1-4 pasukan kepada PKNS FC pada pusingan ketiga Piala FA malam tadi, Bibi Ramjani enggan menyalahkan pemain dan pengendali sementara, Yusri Che Lah.

Berita Harian X