Isnin, 19 March 2018 | 10:23pm
BEKAS penjaga gol kebangsaan era 80an Raimi Jamil ketika dibawa ke dewan bedah Institut Jantung Negara (IJN). - Foto Ihsan Keluarga
BEKAS penjaga gol kebangsaan era 80an Raimi Jamil ketika dibawa ke dewan bedah Institut Jantung Negara (IJN). - Foto Ihsan Keluarga

Raimi makin kritikal

 

KUALA TERENGGANU: Keadaan kesihatan legenda bola sepak negara era 80-an, Mohd Raimi Mohammed Jamil, 55, semakin lemah dan kritikal kerana masih belum sedarkan diri sepenuhnya selepas tujuh hari menjalani pembedahan pintasan jantung.

Berita kurang menggembirakan itu dimaklumkan isteri Raimi, Rinawati Halan, 38, sebentar tadi yang mengharapkan peminat bola sepak negara mendoakan suaminya kembali sedar dan pulih sepenuhnya.

"Tadi doktor panggil saya di dalam bilik ICU (Unit Rawatan Rapi) dan memaklumkan kemungkinan besar suami (Raimi) dah koma dan kena strok, cuma belum boleh dipastikan lagi sebab tidak boleh nak buat imbasan lagi," kata Rinawati.

"Tapi daripada tanda-tanda anak mata yang masih belum ada tindak balas, pihak doktor meminta saya bersedia serta memperbanyakkan doa kerana tidak pasti mesin yang menyokongnya boleh bertahan sampai bila.

"Justeru saya dengan rasa rendah diri memohon semua  peminat bola sepak termasuk bekas majikannya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengadakan solat hajat meminta kesejahteraan suami yang kini sedang bertarung untuk kembali pulih."

Pada Januari lalu bekas 10 penjaga gol terbaik Asia itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini selepas tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Selasa lalu Raimi yang pernah berguru di England menjalani pembedahan pintasan jantung dan sehingga kini masih belum sedarkan diri sepenuhnya selain kondisi jantungnya semakin lemah.

"Melihat keadaan suami yang semakin lemah, hanya doa mampu saya mohon kepada yang Maha Esa supaya suami dapat buka mata seperti biasa.

"Kepada yang mengenali suami termasuk bekas majikannya, marilah kita doakan yang terbaik buatnya yang masih menunggu pengesahan selanjutnya dari Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Berita Harian X