Rabu, 21 March 2018 | 12:14pm
LEGENDA bola sepak negara, Mohd Raimi Mohammed Jamil (baju biru) ketika beraksi bersama skuad bekas pemain Terengganu baru-baru ini. - Foto Malik Muhamad
LEGENDA bola sepak negara, Mohd Raimi Mohammed Jamil (baju biru) ketika beraksi bersama skuad bekas pemain Terengganu baru-baru ini. - Foto Malik Muhamad

Perlawanan amal buat Raimi

KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan nasib legenda bola sepak negara, Raimi Jamil, 55, yang kini koma, Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Negeri Terengganu (PBPBTRG) akan mengadakan perlawanan amal bertemu Kerteh Kemasik Old Star di Padang Awam Kerteh Kemaman pada 31 Mac ini.

Presiden PBPBTRG, Mat Sedek Wahab berkata, matlamat utama perlawanan itu adalah untuk mengumpul dana bagi meringankan beban yang ditanggung Raimi dan keluarganya.

"Sebagai bekas pemain bola sepak negeri kami turut bersimpati dengan nasib beliau yang kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

"Hari ini hari Raimi mengalami masalah kesihatan, satu hari nanti masalah yang sama mungkin akan menimpa kita pula.

"Kita tidak tahu ketentuan Allah, oleh itu marilah sama-sama kita menghulurkan bantuan lebih-lebih lagi dua anaknya masih kecil," kata Mat Sedek, bekas pemain Terengganu era 90-an.

Raimi yang lebih dikenali Jebong dalam kalangan pemain bola sepak kini makin lemah selain koma selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN, Isnin lalu.

Sebelum itu bekas 10 penjaga gol terbaik Asia yang pernah berguru di England dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, dekat sini selepas tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut.

Mat Sedek berkata, antara pemain kebangsaan yang akan beraksi dalam perlawanan itu termasuk bekas kapten skuad negara, Rosdi Talib, Badrulhisham Abdullah dan Fazialah Mamat.

Antara pemain lain yang turut serta adalah bekas kapten negeri, Zulharisan Awang, Anuar Ariffin, Othman Mat Khiar, Fadli Jalil, Zahari Shamsudin, Mohd Noor Yaakub, Shafie Abd Rahman, Che Ku Zain Che Ku Ahmad, Hasnan Ahmad, Adang Abdullah, Zulkifli Kadir, Jefri Wahab, Zulfakri Ashaari, Nordi Abdullah dan Ariffin Abdullah.

Dalam pada itu kerajaan negeri akan mengadakan majlis solat hajat dan bacaan Yasin khusus buat Raimi malam esok selepas selesai solat Maghrib bertempat di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus.

Berita Harian X