Sabtu, 24 March 2018 | 12:33pm
ANAK sulung Raimi Jamil, Muhamad Amiruddin (kanan) dan anak bongsunya, Muhammad Haziq Aiman, (tengah) menyiram air ke kubur bapanya di Kampung Kesom, sebentar tadi. - FOTO MALIK MUHAMAD
ANAK sulung Raimi Jamil, Muhamad Amiruddin (kanan) dan anak bongsunya, Muhammad Haziq Aiman, (tengah) menyiram air ke kubur bapanya di Kampung Kesom, sebentar tadi. - FOTO MALIK MUHAMAD

Jenazah Raimi selamat dikebumikan

KUALA TERENGGANU: Jenazah legenda bola sepak negara, Mohd Raimi Mohammed Jamil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kesom Che Nordin Manir, dekat sini kira-kira jam 11.30 pagi tadi.

Lebih 200 keluarga dan sahabat handai serta penduduk setempat hadir memberi penghormatan terakhir kepada bekas pemain Terengganu dan negara itu.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Tidak ketinggalan bekas pemain Terengganu antaranya Abdul Rahman Ibrahim, Badrulhisham Abdullah, Adang Abdullah, Mat Sedek Wahab, Nasaruddin Yasin, Othman Mat Khiar, Zulkifli Hamzah, Zulharisan Awang, Fazialah Mamat, Hasnan Ahmad serta Zuber Ibrahim.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Kampung Kesom Manir kira-kira jam 5.15 pagi tadi dari Kuala Lumpur diiringi isterinya, Rinawati Halan dan dua anak mereka.

Allahyarham yang pernah dinobatkan antara 10 penjaga gawang terbaik Asia itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.30 petang semalam selepas bertarung nyawa selama 11 hari susulan menjalani pembedahan pintasan jantung.

Hasil perkahwinan dengan Rinawati, Allahyarham yang berusia 55 tahun dikurniakan dua cahaya mata dan memiliki sembilan lagi anak daripada tiga perkahwinan sebelum ini.

Pada Januari lalu, Allahyarham dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dekat sini selepas tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke IJN untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X