Jumaat, 6 April 2018 | 6:47pm
PEMAIN Selangor, Muhd Syahmi Safari (kiri) mahu terus kekal prestasi terbaik agar dapat dipanggil menyertai skuad kebangsaan. - Foto Asyraf Hamzah

Syahmi tekad bantu Selangor

KUALA LUMPUR: Selepas meraih penampilan sulung bersama skuad kebangsaan, pemain sayap Selangor, Syahmi Safari berharap dapat meneruskan rentak cemerlang apabila bertemu Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Syahmi, 20, beraksi musim penuh keduanya bersama Selangor selepas berjaya mendapat tempat dalam pasukan utama tahun lalu di bawah bimbingan P Maniam.

Ketika Maniam sudah digantikan oleh Nazliazmi Nasir, Syahmi mengakui perlu meyakinkan jurulatih baru dia berhak berada dalam pasukan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih skuad kebangsaan kerana memberi peluang kepada saya untuk meraih penampilan pertama," kata Syahmi yang masuk sebagai pemain gantian ketika Harimau Malaya membelasah Bhutan 7-0 , Ahad lalu.

"Ia satu penghormatan kerana dapat beraksi bersama skuad kebangsaan dan pengalaman yang saya peroleh sangat bermakna.

"Saya perlu kekalkan prestasi bersama Selangor kerana panggilan seterusnya akan mengambil kira prestasi saya bersama pasukan ini.

"Setiap sesi latihan saya perlu memberikan komitmen sepenuhnya. Walaupun saya mengenali jurulatih ketika saingan Piala Presiden lagi, saya perlu membuktikan berhak berada dalam pasukan," katanya.

Kapten Selangor, Razman Roslan kembali beraksi selepas tidak diturunkan ketika Selangor menang 3-1 ke atas Terengganu pada pusingan ketiga kerana memenuhi hukuman penggantungan perlawanan.

Razman berharap rakan sepasukannya tidak lagi dibuai kejayaan ketika menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada aksi pembukaan Liga Super.

"Prestasi Kuala Lumpur meningkat selepas menewaskan Kedah dan Johor Darul Ta'zim. Jadi kami tidak boleh memandang mudah dalam usaha untuk mendapatkan kelebihan pada perlawanan timbal balik nanti," katanya.

Berita Harian X