Isnin, 23 April 2018 | 12:45pm
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah (kiri) akan berbincang dengan kepemimpinan PBNS mengenai kedudukan pemain import dalam pasukan itu. - Foto Adzlan Sidek

PBNS nilai prestasi pemain import

 

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah, menegaskan pihaknya akan berbincang dengan kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mengenai kedudukan pemain import dalam pasukan itu menjelang tempoh perpindahan kedua bulan depan. 

Beliau akui ada beberapa kelemahan membabitkan pemain terbabit malah sumbangan mereka setakat ini juga dilihat belum begitu berkesan dan mencapai tahap diharapkan. 

"Saya akan berbincang dengan PBNS terlebih dulu mengenai kedudukan pemain import dan cadangan sama ada untuk menukar atau mengekalkan pemain sedia ada. 

"Fokus kita yang utama adalah untuk memantapkan kekuatan pasukan dan kita sedar peranan pemain import amat penting dalam usaha kita untuk bangkit mencapai kemenangan pada setiap perlawanan bagi membolehkan pasukan dapat terus bersaing dan kekal dalam Liga Super. 

"Dengan kedudukan pasukan yang berada dalam kelompok terbawah carta ketika ini, ia suatu tamparan hebat dan kita perlu berbuat sesuatu (terhadap pemain import) pada jendela perpindahan kedua nanti," katanya di sini, hari ini. 

Ketika ini, Negeri Sembilan mempertaruhkan lima pemain import iaitu Kim Do-Heon dari Korea Selatan, Flavio Beck Junior (Brazil), Nicolas Velez (Argentina), Prak Mony Udom (Kemboja) dan Renars Rode (Latvia). 

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dijadual akan membuka pendaftaran kedua pemain import mulai 14 Mei sehingga 10 Jun depan. 

Azraai yang mula mengambil alih tugas daripada Jorg Steinebrunner pada awal Mac lalu, mengakui mempunyai tanggungjawab besar bagi meletakkan kembali skuad Hobin Jang Hobin di landasan terbaik carta liga. 

Bekas pengendali kebangsaan berusia 65 tahun itu mengakui menggunakan sebaiknya tempoh rehat tanpa perlawanan bagi meningkatkan prestasi pemain dan memperkasakan lagi kekuatan pasukan berkenaan dengan harapan mereka dapat bangkit mencipta kemenangan pada pertemuan dengan Selangor, di tempat lawan hujung minggu ini. 

Beliau yang mempunyai rekod perkhidmatan terbaik bersama pasukan itu dengan membantu Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 2011, juga mengharapkan rekod cemerlang itu dapat diulangi  pada saingan musim ini. 

"Sasaran utama kita ketika ini adalah untuk mengeluarkan Negeri Sembilan dari zon penyingkiran dan selepas itu kami perlu memastikan prestasi terbaik pasukan terus kekal dengan mencipta lebih banyak kemenangan bagi memberikan saingan dan menjamin kedudukan dalam Liga Super tidak terjejas," tegas Azraai.

13 dibaca
Berita Harian X