Sabtu, 28 April 2018 | 12:09am
JURULATIH Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery. - Foto Reuters
JURULATIH Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery. - Foto Reuters

Emery, PSG berpisah

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Unai Emery mengesahkan dia akan meninggalkan kelab Perancis itu pada hujung musim ini selepas kegagalan dalam saingan Liga Juara-Juara dalam dua musim di bawah kendaliannya. 

Emery yang kontraknya bakal tamat pada Jun sememangnya sudah dijangka akan meninggalkan kelab itu. 

Katanya, dia sudah mengadakan pertemuan dengan Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi dan pengarah sukan, Antero Henrique dan mereka memutuskan untuk tidak lagi bekerjasama. 

"Saya sudah memaklumkan pemain mengenai perkara ini," kata Emery ketika sidang media menjelang pertemuan dengan Guingamp dalam saingan Ligue 1, Ahad ini. 

Pengendali dari Jerman, Thomas Tuchel yang tidak membimbing mana-mana kelab ketika ini sejak meninggalkan Borussia Dortmund pada Mei 2017 dikatakan menjadi pilihan utama bagi mengambil alih tempat Emery. 

"Ia sangat komited dalam kerjanya dan disebabkan komitmennya membolehkan kelab meneruskan usaha untuk menjadi kelab bola sepak elit di Perancis dan peringkat antarabangsa. 

"Saya ucapkan tahniah kepada Unai di atas komitmennya terhadap projek kami dan saya ucapkan selamat maju jaya untuk cabaran yang akan dihadapinya pada masa depan," kata Al-Khelaifi menerusi kenyataan dikeluarkan PSG. - AFP

Berita Harian X