Ahad, 29 April 2018 | 3:38pm
PEMAIN Malaysia, Nuraini Rashid (kanan). - Foto Aizuddin Saad

Malaysian Tigress perlu lebih pendedahan: Nuraini

KUALA LUMPUR: Tonggak pertahanan Nuraini Rashid percaya skuad hoki wanita negara memerlukan sekurang-kurangnya tempoh tiga tahun lagi untuk memecah masuk kelompok 15 pasukan terbaik dunia.

Namun tegasnya, untuk memastikan pasukan ranking ke-22 dunia itu mencapai sasaran terbabit, sudah tentu mereka memerlukan lebih banyak pendedahan di pentas antarabangsa apatah lagi Malaysian Tigress ketika ini rata-rata dibarisi pemain berusia di bawah 23 tahun yang berpotensi besar.

"Sebenarnya pasukan wanita negara perlukan lebih banyak pendedahan antarabangsa, bukan saja perlu melayakkan diri ke setiap kejohanan utama tetapi kami juga perlukan lebih banyak aksi persahabatan berkualiti," kata Nuraini.

"Saya yakin dengan pendedahan secukupnya kami mampu capai kelompok 15 terbaik dunia dalam tempoh tiga tahun."

Antara pemain yang dimaksudkannya itu adalah penyerang Hanis Nadiah Onn dan Fatin Shafika Mahd Sukri di samping Wan Norfaiezah Md Saiuti yang kini cemerlang beraksi di posisi baharu sebagai pemain tengah.

Untuk tempoh dua tahun terakhir, Malaysian Tigress hanya mengalami kenaikan ranking sebanyak satu anak tangga dari kedudukan ke-23 hasil kejayaan muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 2017.

Kedudukan itu kekal sehingga kini dan mungkin sukar untuk meningkat selagi Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) terus gagal menyediakan program aksi persahabatan setaraf skuad hoki lelaki yang selepas ini akan menghadapi Jelajah Argentina dan lima aksi persahabatan di Australia.

Malah, jika dibandingkan dengan jaguh Asia lain seperti India dan Korea Selatan, kedua-dua pasukan itu sempat mengadakan lima aksi persahabatan sesama mereka sebelum Sukan Komanwel Gold Coast menyingkap tirainya awal bulan ini.

Kedua-dua pasukan itu akan menjadi lawan yang ditemui skuad wanita negara pada kempen Trofi Juara-Juara Asia di Korea Selatan bermula 13 Mei depan bersama Jepun dan gergasi nombor satu Asia, China.

Sebagai rekod, Malaysian Tigress yang persembahan mereka mendapat pujian sepanjang di Sukan Komanwe, sekadar mengadakan aksi persahabatan menentang New South Wales Institute of Sports dan skuad B-21 Jepun sebelum temasya di Gold Coast itu.

Berita Harian X