Jumaat, 4 Mei 2018 | 8:23pm
FOTO fail, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan bersama pemain pasukan Kelantan. - Foto Fathil Asri

Fajer kekal bimbing skuad Kijang

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan ketua jurulatih Fajer Ebrahim kekal mengendalikan skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Fajer untuk berbincang mengenai isu semasa pasukan.

"Ya, Fajer masih bersama pasukan dan akan terus membimbing TRW bagi menghadapi saingan musim ini.

"Kami berjumpa hari ini berbincang mengenai prestasi pasukan dan beliau berjanji akan terus berusaha membantu pasukan ini mencatat kemenangan.

"Jadi semua spekulasi sebelum ini saya anggap sudah selesai dan kini pasukan perlu fokus kepada perlawanan seterusnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, pengendali dari Syria itu menyuarakan hasrat untuk melepaskan tanggungjawab sebagai ketua jurulatih selepas gagal mencipta kemenangan dalam tiga aksi Liga Malaysia (Liga-M) sejak membimbing pasukan hujung Mac lalu.

Selain itu, Fajer turut kecewa dengan prestasi dua tonggak utama Mohammed Ghaddar dan Farisham Ismail dalam aksi berdepan PKNP FC, Rabu lalu.

Pada masa sama, Fajer yang dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp enggan mengulas lanjut dan menganggap semua perkara sudah diselesaikan.

Selain itu, beliau memaklumkan Kelantan perlu bangkit bagi mengelak kekalahan berterusan.

"Semua sudah selesai... pasukan perlu menang dalam perlawanan selepas ini," katanya.

Berita Harian X