Ahad, 6 Mei 2018 | 2:32pm
AKSI pemain import Kuala Lumpur, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (tengah) diasak pemain Kelantan di Stadium Sultan Muhammad Ke IV. - Foto BERNAMA

Beri ruang bawa padah - Yee Fatt

 

KOTA BHARU: Kuala Lumpur terlalu memberi ruang kepada Kelantan menyebabkan skuad itu gagal membawa pulang sebarang mata ke ibu kota dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Itu pengakuan penolong jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt di atas kekalahan 4-2 pasukannya berdepan The Red Warriors (TRW), sambil menyifatkan pasukannya serba tidak menjadi biarpun membawa misi memburu kemenangan di Kota Bharu.

"Terlalu banyak kesilapan individu dan ruang kita berikan kepada Kelantan walaupun ada kalanya kita memberi tekanan dan menguji kubu pertahanan mereka, kita tidak berhasil mencipta kemenangan," kata Yee Fatt.

"Selain itu mungkin faktor permainan yang ditunjukkan Kelantan apabila corak mereka bermain semakin bagus selain mereka juga mempunyai pemain muda yang berbakat. Tetapi kekalahan ini kita perlu segera perbaiki pada perlawanan akan datang."

Ketiadaan tonggak import pasukan, Guilherme de Paula juga dikatakan mungkin mempengaruhi prestasi pasukan, namun Yee Fatt menjelaskan sebelum ini skuad warga kota sudah beraksi baik tanpa penyerang Brazil itu.

"Mungkin ketiadaannya adalah faktor kecil sahaja kerana sebelum ini kita sudah menjalani latihan tanpanya dan beraksi dengan baik pada perlawanan lalu.

"Selepas ini kita lakukan post-mortem dan lihat semula kelemahan pada pasukan selain saya juga berharap semua pemain dapat fokus dan berusaha lebih lagi pada aksi seterusnya," katanya.

Berita Harian X