X
Ahad, 6 Mei 2018 | 8:06pm
BEKAS pemain tengah legenda Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez.
BEKAS pemain tengah legenda Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez.

Xavi tak jadi bersara

DOHA: Bekas pemain tengah legenda Barcelona dan Sepanyol, Xavi Hernandez mengubah rancangan untuk bersara apabila mengumumkan akan meneruskan kariernya sehingga hujung tahun ini.

Ketika ramai menjangkakan Xavi akan menamatkan karier penuh gemilangnya pada penghujung musim ini, pemenang Piala Dunia dan juara empat kali Liga Juara-Juara memberitahu AFP dia masih cukup cergas untuk terus bermain.

"Saya sudah memutuskan untuk meneruskan sekurang-kurangnya enam bulan lagi," kata pemain berusia 38 tahun itu yang kini bermain bersama kelab Qatar, Al Sadd.

"Kerana ia bergantung terhadap keadaan fizikal saya. Mungkin pada Disember saya akan memutuskan untuk meneruskannya."

Keputusan itu jelas di luar jangkaan kerana Xavi sudah memberi isyarat musim ini adalah yang terakhir buatnya sebelum memberi fokus untuk mendapatkan sijil kejurulatihan.

Xavi yang mempunyai 133 penampilan bersama Sepanyol dijangka memainkan peranan baharu bersama Al Sadd bermula pada musim depan dan disebut-sebut untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan Qatar pada 2022 ketika negara itu menganjurkan Piala Dunia.

Selepas membuat penampilan pertama bersama Barcelona pada 1998, Xavi memiliki lebih 500 penampilan bersama gergasi Catalan itu dan memenangi lapan gelaran La Liga.

Sekali pun saingan liga musim ini sudah berakhir di Qatar dengan Al Sadd menamatkan saingan di tangga kedua, Xavi masih terbabit dalam dua kejohanan piala iaitu Liga Juara-Juara AFC dan separuh akhir Piala Emir, Qatar. - AFP

Berita Harian X