Sabtu, 12 Mei 2018 | 6:07pm
PEMAIN kacukan England-Malaysia, David Rowley akan beraksi bersama skuad Hobin Jang Hobin. - Foto twitter UN9

NS sambar Rowley

SEREMBAN: Negeri Sembilan 'menyambar' pemain kacukan England-Malaysia, David Rowley, bagi melengkapkan senarai tiga pemain baharu untuk sesi perpindahan kedua ketika ini, dalam usaha memantapkan lagi kekuatan pasukan itu berdepan cabaran sengit Liga Super. 

Semalam, dua pemain import masing-masing dari Sepanyol dan Brazil, Angel Guirado, 33, dan Alex Moraes, 30, menjadi senjata baru buat Negeri Sembilan dalam usaha mereka untuk bangkit melakar kemenangan dan keluar daripada kedudukan tercorot carta liga. 

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin, berkata Rowley, 28, adalah pemain naturalisasi yang dilahirkan di Brisbane, Australia di mana bapanya berasal dari Manchester manakala ibunya dari Melaka. 

"Rowley adalah bekas pemain kelab Tennia Borussia yang beraksi di divisyen 5 Jerman dan dia adalah pemain yang berbakat di mana boleh beraksi di posisi tengah, penyerang dan pertahanan.

"Kelebihan yang dimiliki pemain itu boleh disifatkan sebagai suatu kelebihan kepada pasukan dan saya yakin, dia mampu memberikan sumbangan terbaik sepertimana diharapkan dalam mengharungi cabaran liga dan ketika kita amat memerlukan kemenangan," katanya di sini, hari ini. 

Negeri Sembilan ketika ini dilihat begitu terdesak untuk mencapai kemenangan selepas pasukan itu yang sebelum ini dibimbing Jorg Steinebrunner dan Mohd Azraai Khor Abdullah, sekadar meraih satu kemenangan dan dua seri daripada sembilan perlawanan.

Skuad Hobin Jang Hobin yang berhasrat kekal dalam Liga Super musim depan perlu menang dalam perlawanan akan datang, bagi membolehkan keluar daripada kedudukan tercorot carta liga ketika ini.

Mohamad Haslah yang juga pengurus pasukan berkata, kehadiran Rowley yang memiliki ketinggian 1.85 meter dan dua pemain import baru, diharap dapat menyuntik semangat dan keyakinan baru kepada pemain lain dalam usaha memastikan Negeri Sembilan kembali bangkit mencipta kemenangan. 

Beliau berharap pemain berkenaan dapat membentuk gandingan mantap dengan rakan lain di mana saja dia diletakkan oleh ketua jurulatih, Mario Lemos. 

"Saya berharap kehadiran Rowley dapat memberi pilihan yang lebih terbuka buat pengendali baru, Mario Lemos untuk merencana strategi terbaik dalam perlawanan akan datang terutamanya ketika turun berdepan Kedah, malam esok. 

"Harapan saya, pasukan dapat mempamerkan persembahan terbaik dan seterusnya menewaskan Kedah kerana ia peluang terbaik yang seharusnya dimanfaatkan oleh pemain untuk mendapatkan tiga mata," katanya.

73 dibaca
Berita Harian X