Isnin, 14 Mei 2018 | 12:38pm
Pemain Negeri Sembilan,Mohd Fauzan Mohd Fauzi (kanan) bersaing dengan pemain Kedah, Muhammad Akhyar Abdul Rashid pada perlawanan Liga Super 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroim semalam. - Foto Hazreen Mohamad

Lemos gesa pemain NS berubah

SEREMBAN: "Saya hanya mahu ubah dan susun semula permainan pasukan ini untuk jadi lebih baik dalam perlawanan, tapi ia tidak mungkin berjaya tanpa perubahan sikap pemain sendiri," kata ketua jurulatih baharu Negeri Sembilan, Mario Lemos.

Pengendali berusia 34 tahun berasal dari Portugal itu mengakui berdepan tugas mencabar bagi meningkatkan prestasi pasukan itu selepas skuad yang baharu dibimbingnya itu tunduk 1-2 kepada Kedah dalam aksi Liga Super di Paroi, malam tadi.

Namun beliau yakin matlamat itu boleh dicapai kerana saingan liga masih panjang dan banyak lagi perlawanan yang akan dihadapi.

"Walaupun setakat ini kami tak bagus sangat, tapi kami kena usaha untuk tingkatkan lagi prestasi kerana perjalanan liga masih jauh dan kami perlu bekerja keras untuk mencatat kemenangan.

"Walaupun pada perlawanan malam ini (malam tadi) pasukan gagal mendapatkan mata tapi saya lihat ada peningkatan dalam persembahan terutama pada babak kedua hingga mampu menghasilkan gol.

"Namun ia belum cukup dan saya nak tanamkan dalam setiap diri pemain supaya sentiasa fokus dan bijak dalam permainan. Ini perubahan yang saya nak lakukan tapi pemain juga kena ada rasa nak berubah," katanya.

Skuad Hobin Jang Hobin terus kempunan untuk meraih tiga mata apabila tewas tipis kepada Kedah 1-2 sekali gus meletakkan pasukan itu kekal di tangga tercorot.

Lemos yang mengambil alih jawatan itu daripada Azraai Khor Abdullah, Khamis lalu menyifatkan persembahan pertahanan import baharu malam tadi, Alex Moraes amat memberangsangkan.

Berita Harian X