Khamis, 17 Mei 2018 | 3:40pm
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos (dua dari kanan) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Hobin Jang Hobin. - Foto FB Team N9FC

Sentuhan Lemos mampu lonjak NS

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan yakin dapat memperagakan aksi lebih mantap di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu, Mario Lemos dalam memastikan pasukan itu tidak terus terperosok di dasar Liga Super.

Selepas seminggu menerima bimbingan pengendali berasal dari Portugal itu, pemain skuad Hobin Jang Hobin tampak lebih optimis untuk mengharungi cabaran liga terutamanya pertembungan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Larkin, 23 Mei ini.

Pemain pertahanan, Nasriq Baharom berkata, walaupun terdapat sedikit perubahan taktikal diketengahkan Lemos, pemain sudah dapat menyesuaikan diri dengan baik seperti dikehendaki pengendali terbabit.

"Tiada masalah besar untuk kami mengikuti corak latihan dan pendekatan diketengahkan beliau, malah pemain dapat menerima bimbingan dengan baik serta dapat mempelajari aspek baharu, bagi meningkatkan lagi prestasi dalam persembahan.

"Saya yakin, kami mampu meningkatkan lagi tahap persembahan pada perlawanan akan datang dan membantu pasukan mencapai kemenangan.

"Kami sedar, semuanya terletak kepada pemain, jurulatih hanya menurunkan ilmu dan kami sebagai pemain perlu membuktikan tahap prestasi terbaik untuk memastikan pasukan kembali mendapat kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Selepas melalui 10 perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan masih kekal di tangga tercorot carta dengan lima mata hasil satu kemenangan dan dua kali seri.

Nasriq berkata, dia dapat melihat terdapat berlakunya perubahan dari segi sikap, komitmen dan mental pemain, walaupun latihan dikendalikan Lemos membabitkan pelbagai formasi.

Bekas pemain kebangsaan itu menyeru rakan sepasukan bangkit dengan persembahan lebih bertenaga untuk memastikan kemenangan dapat direalisasikan pada perlawanan akan datang.

Berita Harian X