Jumaat, 18 Mei 2018 | 12:58pm
KETUA jurulatih Mario Lemos (tengah) sudah dapat menghidu beberapa kelemahan dalam pasukan itu yang perlu diatasi segera. - Foto FB TeamN9FC

Lemos fokus atasi kelemahan NS

SEREMBAN: Selepas lebih seminggu membimbing skuad Negeri Sembilan, ketua jurulatih Mario Lemos sudah dapat menghidu beberapa kelemahan dalam pasukan itu yang perlu diatasi segera demi memastikan skuad berkenaan mencapai kemenangan pada aksi Liga Super selepas ini.

Skuad Hobin Jang Hobin bakal menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada perlawanan ke-11 liga berkenaan di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, 23 Mei ini.

Justeru, pengendali berasal dari Portugal itu memberikan fokus utama kepada usaha meningkatkan lagi prestasi setiap pemain supaya dapat membina kekuatan yang lebih seimbang di setiap posisi dalam pasukan itu.

"Jelas, terdapat beberapa kelemahan antaranya tiada keseimbangan kekuatan dalam pasukan, yang mungkin menjadi antara faktor kepada kegagalan untuk memberikan persembahan terbaik pada perlawanan yang dilalui sebelum ini. 

"Oleh itu, saya perlu membina kekuatan yang seimbang di setiap bahagian untuk memastikan pasukan dapat mengatur gerak yang lebih lancar dan berkesan dalam usaha mendapatkan kemenangan pada perlawanan akan datang. 

"Kami mempunyai tempoh kurang lima hari lagi untuk memperkemaskan lagi pasukan ini menjelang pertembungan dengan JDT, namun saya lihat terdapat kemajuan yang amat memberangsangkan dari segi komitmen pemain," katanya di sini, hari ini. 

Negeri Sembilan dilihat terdesak untuk mendapatkan kemenangan selepas hasrat mereka itu masih belum kesampaian apabila sekadar meraih dua keputusan seri dalam lapan perlawanan walaupun bertukar ketua jurulatih.

Pasukan itu hanya mencatatkan satu kemenangan ke atas Kuala Lumpur pada perlawanan kedua di gelanggang sendiri, 7 Februari lalu. 

Lemos, 34, yang mengambil alih kerusi panas itu bermula 10 Mei lalu, mengakui berdepan tugas mencabar dalam usaha membawa pasukan itu keluar daripada kedudukan tercorot liga, namun tetap yakin kebangkitan yang diinginkan mampu dicapai.

"Saya tidak ubah pemain dan saya hanya uruskan latihan, tapi untuk mencapai apa yang kita inginkan, saya perlukan pemain yang bersemangat dan rajin dalam membentuk kesebelasan terbaik.

"Ini untuk memastikan setiap perancangan serta strategi yang kita atur pada setiap perlawanan akan membuahkan hasil memuaskan. 

"Saya berharap menerusi perancangan dan kerja keras ini, kita mampu memperoleh peluang yang lebih baik dan keputusan yang positif pada perlawanan akan datang bermula pertemuan dengan JDT minggu depan dan aksi seterusnya," tegas bekas pengendali skuad kebangsaan Bangladesh itu.

Berita Harian X