Jumaat, 18 Mei 2018 | 3:52pm
PKNS FC turut berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini apabila mereka mara ke separuh akhir Piala FA bertemu Selangor. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Tunggulah dulu

KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus kelab, PKNS FC sedang menjalankan penilaian secara menyeluruh terhadap prestasi lima pemain importnya pada musim ini sebelum membuat apa-apa keputusan sama ada mahu menggugurkan mereka dan mendapatkan khidmat pemain baharu.

Jelas pengurusnya, Mahfizul Rusydin Abd Rashid pertukaran pemain baharu hanya akan dilakukan sekiranya pengurusan mendapati perlunya suntikan baharu dalam pasukan itu bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim ini.

Katanya, pelbagai faktor perlu dipertimbangkan jika mereka mahu mendapatkan pemain import baharu namun memberi bayangan lima pemain import sedia ada akan terus menyarung jersi skuad Semut Merah itu.

"Jurulatih, Datuk K Rajagobal akan menjalankan penilaian terhadap prestasi mereka buat masa ini. Kita juga tidak mahu terburu-buru untuk menandatangani pemain lain memandangkan jendela perpindahan masih lagi panjang.

"Kami akui perlu mengambil kira mengenai bajet yang ada untuk mendapatkan pemain baharu selain risiko sama ada pemain baharu yang akan menyertai pasukan mampu menyesuaikan diri dengan cepat ataupun tidak.

"Melihat kepada keserasian semua pemain import PKNS FC, mereka sudah menunjukkan kerjasama berpasukan yang baik tetapi masih terlalu awal bagi kami membuat keputusan mengenai situasi perpindahan pemain," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Musim 2018 menyaksikan PKNS FC mengikat empat pemain bagi memperkasa pasukan itu iaitu bekas pertahanan Kedah, Zac Anderson; pemain tengah kelahiran Argentina, Jonathan Acosta; pemain muda Colombia berusia 19 tahun, Romel Morales serta penggempur kelahiran Brazil, Rafael Ramazotti.

Kuota import Asia Tenggara (ASEAN) yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila mereka mendapatkan khidmat pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli sekali gus melengkapkan lima kuota import mereka pada musim ini.

Selepas 10 perlawanan, PKNS FC kini menghuni tangga keempat liga selepas menghimpun 17 mata hasil lima kemenangan dan dua keputusan seri dengan mereka meledak 16 gol namun dibolosi 14 gol.

Selain itu, PKNS FC turut berpeluang untuk meraih sekurang-kurangnya satu piala musim ini apabila mereka mara ke separuh akhir Piala FA bertemu pasukan 'abang', Selangor.

12 dibaca
Berita Harian X