Selasa, 22 Mei 2018 | 1:16pm
PENYERANG sensasi Negeri Sembilan, N Thanabalan (dua dari kiri) tekad raih mata penting ketika layan JDT malam esok. - Foto ADZLAN SIDEK

Thana sedia galas misi NS

SEREMBAN: Penyerang muda Negeri Sembilan, N Thanabalan sedia membentuk gandingan mantap bersama import baharu, Angel Guirado dalam misi mencatat keputusan positif ketika menentang Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam saingan Liga Super, di Stadium Larkin, malam esok.

Guirado, 33, berasal dari Sepanyol dijangka membuat penampilan sulung dan menjadi taruhan terbaik bagi merobek gawang JDT.

Thanabalan berkata, dia dan Guirado sudah mula serasi sepanjang tempoh latihan dua minggu ini, khususnya selepas tamat perlawanan dengan Kedah di Paroi, 5 Mei lalu.

"Saya diberi peluang oleh ketua jurulatih (Mario Lemos) untuk membentuk gandingan dengan penyerang import baharu itu sepanjang latihan dan setakat ini sudah ada keserasian antara kami walaupun Guirado baharu dua minggu menjalani latihan.

"Guirado sentiasa memberikan kerjasama baik dan saya selesa bergandingan dengannya, malah kami sedia melaksanakan tanggungjawab di barisan depan menentang JDT, malam esok.

"Fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan mencapai keputusan baik di gelanggang lawan itu walaupun sedar tugas kami bukan mudah jika memgambil kira reputasi besar JDT," katanya di sini, hari ini.

Negeri Sembilan dilihat amat terdesak selepas tujuh perlawanan Liga Super tanpa kemenangan dan mereka perlu bangkit jika berhajat untuk terus bersaing dalam liga utama itu.

Thanabalan yang setakat ini sudah menjaringkan dua gol, mahu melebarkan lagi rekod peribadinya itu untuk membantu pasukannya keluar daripada zon bahaya apabila skuad Rusa masih terperosok di dasar liga dengan lima mata.

"Apa pun, kami perlu tingkatkan lagi kualiti persembahan kerana JDT memiliki segala-galanya dan perlu berwaspada kerana sebarang kelemahan atau kesilapan, sudah tentu kami akan mudah dihukum. Saya harap kami mampu bawa pulang mata dari Larkin, esok," katanya.

Berita Harian X