Rabu, 23 Mei 2018 | 12:34pm
IRFAN BAKTI ABU SALIM

Irfan puas hati prestasi anak buah

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memuji corak permainan agresif yang diperagakan anak buahnya ketika membenam Perak 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini malam tadi.

Jurulatih berpengalaman berusia 67 tahun itu turut gembira selepas menyaksikan pemainnya tidak menampakkan tanda keletihan walaupun beraksi pada bulan puasa sehingga pasukan The Bos Gaurus itu berjaya 'dijerat'. 

"Ketika sesi perbincangan, saya beritahu pemain kemenangan tiga aksi di luar dan satu perlawanan di gelanggang sendiri sebelum ini perlu diberi perhatian serius kerana sepatutnya kemenangan lebih di laman sendiri tetapi perkara itu tidak berlaku. 

"Oleh sebab itu saya minta pemain perlu lebih agresif bertemu Perak pada malam ini (semalam) sebagaimana pertemuan dengan Pahang tempoh hari, jadi Alhamdulillah pemain mampu laksanakan tugas dengan baik sehingga berjaya mengutip tiga mata biarpun ada pemain menerima kad kuning. 

"Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan persembahan pemain yang bekerja kuat pada malam ini (semalam) untuk dapatkan mata berbeza dengan aksi terdahulu dengan Perak dan Pahang pemain banyak memberi ruang kepada lawan sehingga mereka senang menguasai permainan," katanya yang mengakui aksi dalam dua perlawanan pusingan kedua sebagai detik tepat buat pasukannya bangkit.

Dalam perlawanan itu kapten TFC,  Kipre Tchetche yang baharu pulih daripada kecederaan paha muncul pemain paling 'bernilai' apabila meledak dua gol pada setiap babak untuk membantu pasukannya menundukkan skuad The Bos Gaurus 2-0 sekali gus berjaya menebus kekalahan 2-3 dalam aksi pusingan pertama di Stadium Perak pada 6 Mei lalu. 

Mengulas lanjut, Irfan Bakti bagaimanapun sedikit kecewa apabila beberapa peluang terhidang yang seharusnya diterjemahkan dengan jaringan gagal dimanfaatkan dengan baik barisan penyerangnya. 

"Sebenarnya kita boleh dapat lebih lagi gol tapi peluang yang dimiliki Tchetche gagal disudahi dengan jaringan dan seharusnya pemain itu perlu lebih bijak menghidu peluang di depan gol. 

"Walau apapun saya tetap gembira dengan keputusan ini ditambah pula pemain tidak menghadapi masalah beraksi pada bulan puasa kerana kita banyak berlatih pada waktu petang," kata Irfan Bakti.

Berita Harian X