Rabu, 23 Mei 2018 | 5:58pm
CRISTIANO Ronaldo ketika sesi latihan. - Foto REUTERS

Rasa macam 23 tahun: Ronaldo

MADRID: Penyerang Real Madrid Cristiano Ronaldo tidak merancang untuk memperlahankan rentaknya dan menganggap dirinya sedekad lebih muda berbanding usianya kini iaitu 33 tahun, kata pemain Portugal itu menjelang aksi final Liga Juara-Juara menentang Liverpool dengan sasaran menjulang Piala Eropah buat kali kelima.

"Ketika ini usia biologi saya adalah 23 tahun," kata pemain terbaik dunia lima kali itu dalam satu wawancara.

"Saya masih mempunyai banyak masa lagi, saya boleh bermain sehingga berusia 41 tahun. Saya rasa hebat dan gembira. Saya tidak mengeluh. Kami akan berdepan satu lagi final pada Sabtu dan peminat setia di belakang Cristiano."

Ronaldo adalah penjaring terbanyak Liga Juara-Juara untuk tahun keenam berturut-turut, menjaringkan 15 gol dalam 12 perlawanan musim ini.

Jika dia menjaringkan gol ke atas Liverpool di Kiev Sabtu ini, dia akan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam empat final Liga Juara-Juara.

Pemain Portugal itu menggalas tugas tambahan di bahagian serangan Madrid musim ini memandangkan Karim Benzema dan Gareth Bale masing-masing bergelut pada peringkat tertentu musim ini.

Ronaldo bagaimanapun dilihat kurang berminat dengan spekulasi media mengaitkan penyerang Paris St Germain Neymar dengan perpindahan ke Real dan menyokong rakan sepasukan.

"Saya berada di sini selama lapan tahun dan orang sentiasa berkata 50 pemain datang ke sini tetapi pada akhirnya tiada siapa pun yang datang. Pada September orang ramai beranggapan ramai pemain akan datang tetapi pemain yang membawa kami ke final sentiasa orang yang sama," katanya.

"Pemain terbaik sudah ada di Madrid.  Bale, Benzema, (Lucas) Vazquez, (Marco) Asensio. Mereka semua ada di sini."- Reuters

Berita Harian X