Khamis, 24 Mei 2018 | 4:13pm

Penyokong NS tagih pemain buktikan kemampuan

 

SEREMBAN: Penyokong Negeri Sembilan berharap pemain skuad itu dapat membuktikan bahawa pemilihan mereka oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) mampu membawa pasukan berkenaan di landasan kejayaan dalam saingan Liga Super musim ini. 

Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, berkata setakat ini mereka kecewa kerana kemajuan diimpikan menerusi tindakan pembaharuan oleh pihak pengurusan termasuk menukar tiga ketua jurulatih, masih belum menjelma. 

"Kami nak lihat keputusan perlawanan yang positif kerana setakat ini kemenangan diharapkan masih belum menjelma walaupun sudah tiga ketua jurulatih bertukar ganti. 

"Kami sedar akan kekuatan dimiliki Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam perlawanan malam tadi (semalam) yang berlangsung di Larkin, tetapi dalam aksi sebelum ini dengan pasukan lain, Negeri Sembilan masih gagal meraih kemenangan termasuk ketika beraksi di gelanggang sendiri. 

"Penyokong amat mengharapkan keputusan positif dicapai dan pemain dipilih perlu buktikan mereka ada kualiti dan pengalaman melaksanakan tugas disandarkan dengan baik dalam setiap perlawanan.

"Pertukaran ketua jurulatih mungkin tidak akan beri kesan andai keputusan positif diharapkan itu tidak berlaku dalam setiap perlawanan," katanya di sini, hari ini. 

Negeri Sembilan mengalami kekalahan kelapan musim ini selepas tewas 0-2 kepada JDT dalam aksi di Larkin semalam sekali gus mengekalkan mereka di tangga tercorot carta liga. 

Skuad Hobin Jang Hobin memulakan aksi musim ini di bawah bimbingan pengendali dari Jerman, Jorg Steinnebrunner dan kemudian Mohd Azraai Khor Abdullah mengambil alih Mac lalu sebelum digantikan ketua jurulatih sekarang dari Portugal, Mario Lemos. 

Ahmad Zaini berkata, impian untuk kekal di Liga Super musim depan mungkin terbantut jika tiada perubahan dalam aspek prestasi dan keputusan duntuk perlawanan akan datang. 

Justeru katanya, pemain perlu buktikan kehadiran pengendali baharu itu benar-benar memberi impak positif kepada tahap prestasi dan persembahan mereka, dengan memastikan kemenangan dicapai pada aksi akan datang. 

Berita Harian X