Jumaat, 25 Mei 2018 | 12:25am
PEMAIN FELDA United, Wan Zack haikal Wan Nor (kiri) mengawal bola ketika cuba diasak pemain Sabah, Francis Kasonde dalam saingan Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Wan Zack Haikal wira FELDA United

MARAN: Jaringan tunggal Wan Zack Haikal Wan Noor membolehkan FELDA United menewaskan Sabah, 1-0 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, di sini, malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad diberi jolokan The Fighters mengukuhkan kedudukan di persada liga dengan 32 mata, manakala Sabah pula kekal di tangga kelima dengan 15 mata.

Namun bukan mudah buat skuad kendalian B Satianathan untuk meraih tiga mata apabila dipaksa bekerja keras oleh Sabah yang memberi saingan sengit.

Sabah bermula garang apabila memperoleh peluang pertama menerusi Maxius Musa pada minit ketiga, namun sepakannya diselamatkan Farizul Harun ketika penyerang itu hanya berdepan dengan penjaga gol selepas menerima umpanan Hector Omar Ramos Lebron.

FELDA United kemudian melancarkan serangan dan hampir memperoleh gol pertama pada minit ketujuh menerusi gerakan cantik Thiago Augusto Fernandes, namun sepakannya di dalam kota penalti tersasar.

Sabah sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah menerusi serangan pantas pada minit ke-35, namun ketangkasan Farizal berjaya menafikan sepakan Hector, disusuli tandukan susulan oleh Rahman Shah Marajeh.

Ketika separuh masa pertama hampir tamat, FELDA United dianugerahkan sepakan percuma di luar kotak penalti, selepas Thiago Augusto dijatuhkan pertahanan import Sabah, Francis Kasonde.

Wan Zack Haikal tidak mensia-siakan peluang itu apabila menyempurnakan sepakan percuma cantik yang menewaskan penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining.

Bersambung babak kedua, Sabah melancarkan serangan dan hampir memperoleh gol penyamaan pada minit ke-63 menerusi Kasonde.

Ia berpunca daripada keadaan kelam kabut dalam kotak penalti menerusi sepakan sudut diambil Sabri Sahar, namun sepakan Kasonde diselamatkan Farizal.

Berita Harian X