Ahad, 27 Mei 2018 | 1:19pm
PEMAIN Negeri Sembilan, Alex Moraes Gomes meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi. - Foto BERNAMA

'3 mata suntik semangat kami'

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos akui lega apabila pasukan yang mula dikendalikannya pada 10 Mei lalu kembali mencatat kemenangan selepas menewaskan Kelantan, 2-0, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

 Pengendali berusia 34 tahun berasal dari Portugal menyifatkan kemenangan itu begitu bermakna dalam membangkitkan semangat serta keyakinan anak buahnya untuk mengharungi baki saingan liga.

 "Saya puas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain dan kemenangan ini amat bermakna untuk membangkitkan semangat serta keyakinan pemain, walaupun tidak dapat mengubah kedudukan pasukan.

 "Malah, saya juga mengakui bukan senang untuk pasukan ini bangkit tetapi pemain menunjukkan kesungguhan tinggi untuk menang dan membuktikan perubahan yang kita lakukan sudah mula menampakkan hasilnya.

 "Saya harap pemain dapat kekalkan prestasi terbaik ini dan meneruskan momentum kemenangan untuk memastikan kami kembali bersaing dan dapat keluar daripada kelompok bawah," katanya.

 Dua import baharu, Alex Moraes Gomes dan Angel Guirado muncul wira Negeri Sembilan apabila masing-masing menjaringkan gol kemenangan pasukan itu.

 Begitupun, skuad Hobin Jang Hobin masih kekal pada kedudukan tercorot liga dengan mengumpul lapan mata iaitu sama yang dikutip Kelantan.

Berita Harian X