Isnin, 28 Mei 2018 | 1:20pm
GAMBAR fail, pemain Negeri Sembilan Nicolas Leandro Velez (kanan) mengasak pemain Kelantan Alaeddine Bouslmi (dua, kanan) pada saingan Liga Super Malaysia 2018 Kelantan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR) Paroi, kelmarin. - Foto BERNAMA

Penyokong harap kemenangan bangkit motivasi NS

SEREMBAN: Kemenangan ke atas Kelantan diharap memberi nafas baharu kepada Negeri Sembilan (NS) untuk terus mempamerkan rentak kemenangan pada baki saingan Liga Super musim ini.

Presiden Kelab e-Penyokong Bola Sepak NS (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun, berkata walaupun gembira dengan kemenangan itu, namun ia belum boleh dijadikan ukuran tentang keupayaan sebenar pasukan terbabit berikutan Kelantan menghadapi penurunan prestasi.

"Kami percaya kemenangan ke atas Kelantan pada aksi Sabtu lalu sememangnya amat berharga buat NS, tapi ia belum boleh dianggap prestasi pasukan itu sudah meningkat.

"Ini kerana lawan yang ditemui itu bukan pasukan yang kita kenali sebelum ini. Mereka dilihat sedang bergelut berikutan perubahan yang berlaku dalam pasukan berkenaan.

"Apa pun kita berharap kemenangan itu dapat memberi nafas baharu kepada NS dan membangkitkan motivasi lebih tinggi kepada pemain untuk terus bekerja keras agar keputusan baik tidak terhenti setakat itu sahaja," katanya di sini, hari ini.

Selepas tewas dalam lapan perlawanan terdahulu, NS kembali mencatat kemenangan apabila menewaskan Kelantan 2-0, namun kejayaan itu belum dapat mengubah kedudukan mereka di tangga tercorot carta liga.

Ahmad Zaini berkata, penyokong menaruh harapan tinggi kepada barisan pemain skuad Hobin Jang Hobin untuk merealisasikan sasaran kekal dalam Liga Super musim depan.

"Cabaran itu perlu disahut pemain kerana selama empat musim Negeri Sembilan terpaksa bersaing dalam Liga Perdana dan peluang terbaik beraksi dalam Liga Super musim ini seharusnya dapat dipertahankan untuk musim depan.

"Namun dengan prestasi dan pencapaian NS sekarang ini, tidak mustahil apa yang berlaku sebelum ini boleh berulang jika tiada perubahan dalam perlawanan akan datang," katanya.

Mengulas segelintir ultras NS yang mendesak pengurusan pasukan itu supaya meletakkan jawatan, Ahmad Zaini berkata tindakan itu sekadar menzahirkan kekecewaan mereka.

"Mereka (penyokong) kecewa kerana prestasi pasukan tidak menunjukkan peningkatan yang diharapkan walaupun berlaku pertukaran tiga ketua jurulatih.

"Kami ingin lihat kemenangan ke atas Kelantan itu dapat diteruskan pada perlawanan berikutnya menentang PKNS FC, di Paroi, Ahad ini," katanya.

Berita Harian X