Khamis, 31 Mei 2018 | 12:25am
NEYMAR (kiri) ketika sesi latihan. - Foto AFP
NEYMAR (kiri) ketika sesi latihan. - Foto AFP

Bola sepak Perancis 'perlu' Neymar

PARIS: Bola sepak Perancis 'perlukan' Neymar, kata Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Noel Le Graet.

Le Graet berkata, bintang sensasi Brazil itu 'perlu kekal' bersama kelab gergasi negara berkenaan, Paris Saint-Germain (PSG).

"Kami memerlukan imej ini, dia adalah pemain bola sepak yang menakjubkan," kata Le Graet kepada AFP, hari ini.

"Dia mempunyai kontrak selama lima tahun. Dia perlu kekal. PSG menunjukkan mereka mampu memikat bintang-bintang ternama."

Neymar menjadi pemain bola sepak termahal dunia berikutan perpindahannya ke PSG dari Barcelona pada Ogos tahun lalu yang bernilai AS$264 juta dolar (RM1.05 bilion).

Dia memenangi anugerah Pemain Bolasepak Perancis Terbaik musim ini sekali pun mengalami kecederaan kaki dan tidak bermain sejak Februari lalu.

Timbul spekulasi yang konsisten mengatakan tempoh pemain berusia 26 tahun di PSG adalah singkat dengan gergasi Sepanyol, Real Madrid dikatakan berminat mendapatkan khidmatnya.

Presiden PSG, Nasser al-Khelaifi begitupun menolak pandangan berkenaan dan bertegas beliau '2,000 peratus' yakin Neymar akan kekal bersama kelab itu musim depan. - AFP

Berita Harian X