Khamis, 31 Mei 2018 | 6:47pm
BEKAS Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Zulfadhli Zulkifli.
BEKAS Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa. - Foto Zulfadhli Zulkifli.

'Henti kutuk Bibi'

'Henti kutuk Bibi'

Itext: Annuar minta penyokong TRW sabar

Oleh Attirmidzie Rahman

[email protected]

KOTA BHARU: Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa meminta semua pihak khususnya penyokong pasukan Kelantan bersabar dan terus menyokong usaha dibawa Bibi Ramjani Ilias Khan dalam membentuk pasukan itu.

Annuar yang sentiasa mengikuti perkembangan The Red Warriors (TRW) berkata, beliau melihat banyak kritikan dilontarkan kepada badan induk itu mengenai prestasi serta beberapa tindakan drastik yang berlaku sejak kebelakangan ini.

"Mutakhir ini saya terbaca banyak kutukan dan 'takiran' (kritikan) terhadap pengurusan KAFA khususnya kepada Bibi Ramjani.

"Sebagai orang yang pernah melalui sedikit sebanyak asam garam bola sepak Kelantan, saya berpendapat kita semua harus bersabar dan berlaku adil kepada mereka (pengurusan) yang secara jujur dan sanggup menghidupkan bola sepak negeri ini.

Pemain lama masih perlu

"Tugas ini bukan mudah tapi juga ramai tidak mahu memikul tanggungjawab. Masing-masing melepaskan diri dan mencari helah, waktu menang ramai memuji tetapi bila gagal ramai mencaci, budi tidak dikenang lagi," katanya menerusi entri di Facebooknya, semalam.

Pada masa sama, Annuar menasihatkan KAFA perlu melakukan sesuatu dalam memulihkan kembali imej pasukan susulan aksi tidak konsisten dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

Untuk itu, Annuar menganggap pasukan masih memerlukan khidmat pemain berpengalaman walaupun Kelantan kini dibentuk menggunakan acuan pemain muda.

Katanya, kehadiran penyerang import serta pemain sayap yang baik pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) mampu membantu memantapkan jentera hadapan pasukan itu.

"Bibi Ramjani perlu segera lakukan sesuatu sebab TRW sudah hilang karakter dan imej asalnya, tapi kita belum terlambat dan KAFA mesti pastikan tidak turun ke Liga Perdana," katanya.

habis

Berita Harian X