Jumaat, 1 Jun 2018 | 5:05pm
PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) sah mengikat pemain kelahiran Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov (tengah). - Foto ihsan FB Bibi Ramjani

Kelantan ikat Bakhtiyar ganti Gomis

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sah mengikat pemain kelahiran Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov yang bakal mengisi posisi tengah skuad The Red Warriors (TRW) selepas ini.

Bakhtiyar, 22, yang juga bekas pemain skuad bawah 21 tahun Kyrgyzstan, memulakan karier bersama Dinamo MVD Bishkek (2012) dan kelab terakhir yang diwakilinya adalah FC Dordoi Bishek di Liga Kyrgyzstan.

Bakhtiyar yang juga difahamkan menjadi pilihan utama ketua jurulatih Fajer Ebrahim bagi mengisi posisi tengah, akan menggantikan Margaro Gomis yang tiada dalam perancangan beliau kerana mengalami kecederaan.

Perkara itu disahkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan selepas mengikat Bakhtiyar menerusi kontrak selama enam bulan.

"KAFA berharap dengan kemasukan Bakhtiyar dapat membantu menambah kekuatan jentera tengah untuk mengembalikan semula sengat jentera serangan selepas mengalami aksi suram sebelum ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya sama ada Bakhtiyar dapat beraksi menentang Selangor malam ini, Bibi Ramjani berkata, pihaknya berharap dia dapat diturunkan dan cepat serasi dengan Nik Akif Syahiran.

"Kehadiran Bakhtiyar yang mempunyai pengalaman sebagai pemain kebangsaan diharap dapat membantu pemain muda dan membina kembali kekuatan pasukan yang nampak agak goyah kerana menggunakan hanya dua tenaga import," katanya.

Berita Harian X