Sabtu, 2 Jun 2018 | 9:45pm
KETUA Jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Fajer tiada bersama pasukan?

KOTA BHARU: Ketiadaan ketua jurulatih Kelantan, Fajer Ebrahim bersama pasukan di tempat penginapan di Perlis hari ini pantas mencetuskan tanda tanya.

Dimaklumkan, jurulatih kelahiran Syria itu sepatutnya berada bersama pasukan bagi menjalani latihan menjelang pertemuan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Selasa ini.

Menurut sumber, ketiadaan Fajer itu menimbulkan kehairanan pasukan tetapi perkara itu belum dapat dipastikan susulan tiada kenyataan dikeluarkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA).

"Fajer tidak kelihatan bersama pasukan hari ini... beliau sepatutnya menjalani latihan di Perlis bersama pasukan bagi persiapan bertemu Kedah.

"Namun begitu ia belum dapat dipastikan memandangkan KAFA juga belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai perkara itu.

"Jadi kita tunggu saja apa sebenarnya yang berlaku," kata sumber dalaman ketika dihubungi, hari ini.

Dalam masa sama, cubaan Sukan NST mendapatkan pengesahan daripada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan masih belum berhasil.

Ketiadaan Fajer secara mengejut seolah-olah memberi petunjuk bahawa beliau sudah meletakkan jawatan serta merta.

Ia mungkin susulan kekalahan keempat pasukan itu sepanjang kendaliannya sekali gus menyebabkan The Red Warriors (TRW) menghuni tangga tercorot Liga Super.

Berita Harian X