Isnin, 4 Jun 2018 | 3:52pm
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos.

NS dapat keyakinan baharu

SEREMBAN: "Saya gembira dengan kemenangan malam ini tapi belum berpuas hati kerana kami masih berada dalam kelompok terbawah carta liga," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos.

Negeri Sembilan mencatat kemenangan ketiga dalam saingan Liga Super musim ini selepas menewaskan PKNS FC, 3-1, dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Lemos berkata, beliau kini dapat melihat peningkatan prestasi dalam persembahan skuad bimbingannya itu selepas memulakan tugas berkenaan pada 11 Mei lalu.

Pengendali dari Portugal berusia 34 tahun itu berkata, pemain menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menang apabila berjaya menguasai sebahagian besar perlawanan.

"Berikutan ketiadaan Nicolas Velez kerana kurang cergas, saya terpaksa mempertaruhkan gandingan Angel (Guirado), Mohd Fakhrul Aiman dan Mohd Khairul Izuan (Rosli) bagi menerajui jentera serangan dan ternyata mereka tidak mengecewakan.

"Walaupun Fakhrul Aiman tidak dapat menjaringkan gol selepas memiliki beberapa peluang tetapi dia memberikan persembahan yang bagus dan saya lihat perancangan kita menjadi malam ini (malam tadi).

"Meskipun menang tapi tidak membawa banyak perubahan kepada kedudukan pasukan dan saya berharap momentum kemenangan ini dapat dikekalkan pada perlawanan akan datang kerana kemenangan amat penting untuk kita perbaiki kedudukan pasukan dalam liga," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Flavio Junior menyumbat dua gol manakala satu lagi oleh Mohd Ferris Danial Nasir masing-masing pada minit ke-35, 61 dan 68, sementara gol saguhati PKNS oleh Romel Ramirez pada minit ke-72.

Lemos akui yakin dengan kekuatan skuad Hobin Jang Hobin ketika ini namun sedar tugasnya semakin mencabar untuk membawa skuad berkenaan terus bersaing dan melangkah lebih jauh dalam liga serta mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

"Tugas kita bukan mudah dan saya kena bersikap realistik serta berterus terang kerana persaing terdekat kita seperti Melaka United dan Selangor menang dalam perlawanan masing-masing.

"Apa yang saya mahukan kepada pemain agar mereka terus fokus dan tingkatkan lagi persembahan kerana lawan selepas ini lebih sukar tapi kita perlukan kemenangan untuk terus bersaing dan mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan," katanya.

Berita Harian X