Selasa, 5 Jun 2018 | 3:19pm
NEGERI Sembilan (jersi kuning) mahu mengulangi aksi cemerlang menewaskan PKNS FC apabila berdepan Perak dalam saingan liga. - Foto Team N9FC

NS tak rela putih mata

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) tidak rela hasratnya untuk mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut tersekat apabila berdepan Perak, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Justeru, penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli, mahu rakan sepasukan meneruskan rentak cemerlang bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman.

"Ia perlawanan penting buat kami dan perlu menang untuk kembali menghidupkan peluang dan dapat bersaing dalam liga musim ini.

"Walaupun berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas Kelantan dan PKNS FC, tetapi itu belum cukup untuk membantu kami keluar daripada zon penyingkiran ke Liga Perdana musim depan.

"Kami tidak boleh menunggu pada saat akhir untuk menyelamatkan keadaan sebaliknya peluang beraksi di laman sendiri malam esok digunakan sepenuhnya untuk mengutip tiga mata," katanya di sini, hari ini.

Fauzan bagaimanapun akui tugas bersama rakan lain berdepan anak didik Mehmet Durakovic bukan mudah kerana lawannya itu dilihat berada pada tahap prestasi yang sangat baik dengan kedudukan di tangga ketiga liga.

Tonggak pertahanan berpengalaman itu mengakui situasi berkenaan boleh dihadapi dengan memastikan tahap disiplin dan semangat sepasukan yang tinggi.

"Namun, kami sudah membuat persiapan dan bersedia berdepan pasukan itu, malah ketua jurulatih Mario Lemos juga sudah mengingatkan semua pemain berikan komitmen 100 peratus.

"Kami berharap mampu mengulangi aksi cemerlang menewaskan PKNS, Ahad lalu dan memastikan tiga mata milik pasukan," katanya.

Negeri Sembilan ketika ini menduduki tangga kedua tercorot liga dengan 11 mata hasil tiga kemenangan yang diraih di gelanggang sendiri sebelum ini.

Berita Harian X