Selasa, 5 Jun 2018 | 3:28pm
KETIADAAN Fajer Ebrahim bersama pasukan akhirnya terungkai apabila mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kelantan.. - Foto ihsan Kelantan FA

Fajer letak jawatan

KOTA BHARU: Ketiadaan kelibat pengendali, Fajer Ebrahim bersama pasukan selepas mengalami kekalahan 0-4 dengan Selangor tempoh hari akhirnya terungkai apabila jurulatih kelahiran Syria itu mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Kelantan.

Mengesahkan perkara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, berkata pihaknya sudah menerima surat daripada Fajer yang memberitahu hasratnya untuk meninggalkan pasukan.

Sehubungan itu, pasukan itu kini akan dikendalikan oleh penolong jurulatih pasukan, Yusri Che Lah.

"Kita dah terima surat perletakan jawatannya dan kini pasukan akan dikendalikan oleh Yusri sebagai jurulatih sementara.

"Selepas ketiadaan Fajer bersama pasukan baru-baru ini, saya meminta Yusri untuk mengendalikan pasukan bagi persiapan perlawanan seterusnya dan diharap selepas ketiadaan Fajer ini barisan pemain dapat bekerjasama dengan Yusri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tiga hari lalu, Fajer mencetuskan tanda tanya selepas menghilangkan diri daripada pasukan dan tidak bersama pasukan di tempat penginapan di Perlis.

Jurulatih berusia 53 tahun itu sepatutnya berada bersama pasukan bagi menjalani latihan menjelang pertemuan Liga Super menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

Dalam perkembangan sama, Bibi Ramjani turut mengingatkan barisan pemainnya supaya melakukan terbaik dan berusaha menyelamatkan kedudukan pasukan daripada zon penyingkiran.

"Semua pemain kena sedar yang ruang sudah diberikan untuk mereka buktikan kemampuan..dan saya berharap selepas pasukan bersama Yusri, semua (pemain) dapat beri yang terbaik dan menghormatinya sebagai jurulatih.

"Pemain jangan sia-siakan ruang yang diberikan untuk mereka kerana ini adalah masa depan mereka dan masa depan pasukan.

"Jangan peduli apa yang sudah berlaku, apa yang penting pemain perlu berusaha keras membantu pasukan demi menyelamatkan kedudukan ketika ini," katanya.

Berita Harian X