Selasa, 5 Jun 2018 | 4:29pm
KEPIMPINAN Tengku Amir Shah dalam FAS diyakini dapat membawa pasukan Selangor ke hadapan. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Keputusan Tengku Amir tepat

KUALA LUMPUR: Keputusan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menerima tawaran untuk menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi Negeri, Amirudin Shari berkata, era kepimpinan Tengku Amir dalam FAS diyakini dapat membawa pasukan ke hadapan dan sudah tentu akan mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada rakyat negara di negeri ini.

"Rakyat sentiasa memberi sokongan kepada Tengku Amir seperti mana yang ditunjukkan sepanjang beliau menganjurkan program anak muda dan sukan selama ini.

"Saya mendoakan agar Tengku Amir diberikan kekuatan dan kebijaksanaan dalam menjalani tugas selaku Presiden FAS. Dengan izin Allah, beliau pasti dapat menggalas harapan rakyat Selangor khususnya peminat setia Pasukan Merah Kuning demi meletakkan pasukan kembali menjadi yang terkuat dan terbaik di tanahair ini," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Amirudin turut mengesahkan kerajaan negeri bersedia untuk membantu segala usaha Tengku Amir bagi memastikan skuad The Red Giants kembali menjadi pasukan yang disegani.

"Kerajaan negeri juga menyokong sepenuhnya terhadap tekad dan iltizam Tengku Amir untuk memfokuskan kepada pembangunan akar umbi bola sepak melalui Majlis Sukan Negeri Selangor sejajar dengan Pelan Perancangan Pembangunan Sukan Negeri.

"Sudah pastinya di masa hadapan lebih banyak idea pembangunan boleh diterjemahkan bagi merancakkan lagi program-program pembangunan bolasepak negeri," katanya.

Terdahulu, penyokong setia Selangor mendapat berita yang dinantikan selepas Tengku Amir mengesahkan berkenan menyandang jawatan Presiden FAS selepas jawatan itu dikosongkan susulan peletakan jawatannya penyandangnya, Datuk Seri Subahan Kamal.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, yang mengumumkan perkara berkenaan melalui satu kenyataan media hari ini berkata, Tengku Amir Shah berkata FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

"Baginda sentiasa menyokong penuh pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi. Fokus harus diberikan untuk memastikan FAS serta pasukan bola sepak Selangor terus mara," kata Munir.

61 dibaca
Berita Harian X