Rabu, 6 Jun 2018 | 6:00pm
TENGKU AMIR SHAH SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH

RMS mampu kembalikan zaman gemilang Selangor

KUALA LUMPUR: PKNS FC menyifatkan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah mampu mengembalikan zaman kegemilangan pernah dikecapi arena bola sepak negeri itu.

Menerusi kenyataan, PKNS menyambut baik tindakan RMS untuk menyandang jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang bakal dikosongkan Datuk Seri Subahan Kamal pada 3 Julai depan.

"Pembabitan RMS di peringkat bola sepak akar umbi dan liga komuniti melalui Komuniti Belia Selangor menjadi bukti kecintaan baginda terhadasp sukan bola sepak negeri.

"Oleh itu, PKNS FC sama seperti rakyat negeri Selangor yang gembira menyambut perkhabaran ini, merasakan baginda sebagai individu paling tepat untuk menerajui FAS dan mengembalikan kegemilangan bola sepak Selangor.

"Kami di PKNS FC akan sentiasa menyokong penuh dengan tidak berbelah bahagi atas usaha transformasi yang dibawa baginda," kata kelab yang diberi jolokan Semut Merah itu.

Semalam, penyokong setia Selangor mendapat berita yang dinantikan selepas Tengku Amir mengesahkan berkenan menyandang jawatan kerusi nombor satu FAS itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, yang mengumumkan perkara berkenaan semalam menjelaskan, Tengku Amir berkata FAS harus melakukan anjakan paradigma dan perubahan menyeluruh dalam mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri.

Malah, kenyataan RMS yang dimuat naik melalui akaun rasmi Instagram pula menjelaskan FAS perlu bertindak segera membuat perubahan drastik selain fokus harus diberikan untuk memastikan persatuan itu dan pasukan Selangor terus mara.

21 dibaca
Berita Harian X