Khamis, 7 Jun 2018 | 12:20pm
BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi. - Foto Luqman Hakim Zubir

Piya sedia kembali bersama TRW

KUALA LUMPUR: Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi sedia kembali menyarung jersi pasukan itu jika khidmatnya masih diperlukan malah yakin masih mampu memberi sumbangan walaupun sudah berada di hujung karier.

Badhri atau Piya, 36, yang sebelum ini disisih jurulatih dari Syria, Fajer Ebrahim berkata, dia sedia mengetepikan segala salah faham dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) demi kepentingan pasukan negeri itu.

"Kito ni ok semace. Kito sayang bola sepak Kelate (Saya sentiasa OK. Saya sayang bola sepak Kelantan)," demikian reaksi Piya apabila ditanya pendiriannya jika dipanggil semula mewakili The Red Warriors.

"Jika Kelantan rasa saya masih mampu memberi sumbangan, saya sedia bila-bila masa kerana saya terlalu sayangkan pasukan ini dan kecewa ia dirosakkan oleh orang luar.

"Saya yakin dengan pengalaman dimiliki, saya mampu membimbing pemain muda Kelantan. Mungkin saya memerlukan sedikit masa untuk mengembalikan kecergasan selepas lama tidak bermain namun ia bukan masalah besar.

"Bagaimanapun ia terpulang kepada jurulatih (Yusri Che Lah) kerana beliau lebih berhak menentukan siapa yang beliau mahu untuk mewakili Kelantan," kata Badhri.

Semalam, bekas pemain Kelantan, Anuar Rajib meminta KAFA memberi peluang kedua kepada Badhri untuk kembali menyarung jersi TRW selepas Fajer sah meletak jawatan dan tugas jurulatih kini dipangku oleh Yusri.

Kenyataan Anuar itu menjadi topik perbincangan penyokong Kelantan di laman sosial serta mendapat pelbagai reaksi. Ada yang menyokong malah tidak kurang juga yang membantah Badhri kembali ke pangkuan pasukan.

Berita Harian X