Khamis, 7 Jun 2018 | 1:16pm
PEMAIN Negeri Sembilan, N Thanabalan meraikan jaringan penyamaan pada waktu kecederaan pada perlawanan Liga Super Malaysia 2018 di stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

Lemos lega kongsi mata

SEREMBAN: "Kami dah jangka ia perlawanan yang sukar tapi saya puji sikap pemain yang tidak putus asa walaupun terpaksa menunggu hingga ke hujung permainan untuk mendapatkan gol," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos.

Negeri Sembilan berjaya menafikan kehebatan Perak apabila seri 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Lemos berkata, beliau berpuas hati dengan kesungguhan anak buahnya memberikan saingan kerana sedar Perak memiliki kekuatan tersendiri dan sudah menjangkakan bukan satu tugas mudah untuk menewaskan pasukan itu.

"Namun menerusi disiplin dan semangat sepasukan tinggi yang ditunjukkan pemain, mereka dapat memberikan saingan baik kepada Perak.

"Perubahan taktikal nyata berhasil dan kemasukan Thanabalan dapat mengubah rentak permainan terutama di bahagian serangan selepas gandingan Angel Guirado, Khairul Izuan (Rosli) dan Fakhrul Aiman (Khalidi) gagal menembusi gawang Perak."

Pengendali dari Portugal berusia 34 tahun itu nyata gembira dengan keputusan perlawanan walaupun hasrat untuk melakar kemenangan hatrik tidak kesampaian selepas sebelum itu tampil cemerlang menewaskan PKNS dan Kelantan.

Berita Harian X