Jumaat, 8 Jun 2018 | 9:55pm
KAPTEN TFC, Kipre Tchetche berharap mampu meledak lagi ketika menentang PKNP FC. - Foto Effendy Rashid

Kapten TFC kemaruk gol

KUALA TERENGGANU: Kapten Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche berharap dia mampu meledak lagi apabila pasukannya melayan kunjungan PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam esok.

Bagaimanapun kapten berusia 30 tahun itu mengharapkan episod kekalahan dalam dua aksi berturut-turut kepada Kuala Lumpur dan PKNP FC sebelum ini menjadi pengajaran kepada mereka supaya lebih fokus bertemu skuad itu.

Pemain kelahiran Ivory Coast yang digelar 'Drogba Terengganu' itu juga menuntut rakan sepasukannya mempamerkan aksi terbaik dengan memperagakan semangat lawan tinggi hingga ke minit terakhir perlawanan.

"Beraksi di laman sendiri sudah tentu kita mempunyai lebih banyak peluang untuk menang, tetapi apa yang saya harapkan rakan sepasukan mampu memperagakan aksi terbaik bagi mencapai sasaran itu.

"Impian itu mampu dicapai jika semua pemain lebih fokus dan paling penting elakkan daripada melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah seperti ketika bertemu Kuala Lumpur dan PKNP FC," kata Tchetche.

Penjaring terbanyak skuad Penyu itu dengan sembilan gol turut mengakui kehadiran penyerang import baharu kelahiran Korea Selatan, Do Dong Hyun banyak membantu pasukan.

"Dong Hyun adalah pemain yang baik sebagaimana yang dibuktikan ketika pertama kali diturunkan bertemu PKNP FC Selasa lalu. Secara peribadi, saya mengharapkan dia mampu mempamerkan aksi terbaiknya malam esok.

"Kami harap mampu menebus kembali kekalahan 1-2 dalam aksi pertama kepada PKNP FC dan mengharapkan sokongan padu daripada peminat setia skuad TFC," kata anak bongsu daripada enam beradik itu.

Berita Harian X