Rabu, 13 Jun 2018 | 12:21am
PENYERANG Pahang, Mohmadou Sumareh (dua dari kiri) diasak pemain JDT, La Vere Lawrence Corbin Ong (kiri) pada saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi. - Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

JDT sekali lagi kecewakan Tok Gajah

KUANTAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super apabila menewaskan Pahang 2-1 di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Bagi Pahang, ia kekalahan kedua berturut-turut kepada JDT selepas tewas 0-1 di Larkin bagi aksi terakhir pusingan pertama Liga Super, pada 8 Jun lalu.

Namun, pada perlawanan itu, tuan rumah terlebih dahulu menguji gawang lawan menerusi Norshahrul Idlan Talaha, tetapi bola tandukan bekas penyerang kebangsaan itu sedikit tersasar pada minit keenam.

JDT turut melancarkan serangan ke kubu Pahang, namun dinafikan jentera pertahanan Tok Gajah.

Pada minit ke-32, kerja keras skuad Harimau Selatan berhasil apabila penyerang import, Fernando Marquez meletakkan skuad itu di hadapan selepas menewaskan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias.

Selepas jaringan pendahuluan itu, tuan rumah berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan, namun terpaksa akur keputusan 0-1 kekal pada separuh masa pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, Pahang yang ketinggalan menggandakan asakan ke kubu lawan dalam usaha memberi tekanan kepada lawan yang kental bertahan.

Pada minit ke-80, pemain tengah Tok Gajah, Mohd Faisal Halim hampir menjaringkan gol penyamaan, namun penjaga gol JDT, Mohd Fariizal Marlias berjaya menepis keluar.

Selang empat minit, gol penyamaan skuad Tok Gajah hadir menerusi pemain import, Issey Nakajima.

Ketika keputusan seakan-akan berkesudahan dengan keputusan seri, Gonzalo Giordano mudah menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan JDT membawa pulang tiga mata pada minit ke-90.

Berita Harian X