Rabu, 13 Jun 2018 | 4:52pm

Penyokong harap pemain NS kekal fokus

SEREMBAN: Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) yakin perubahan dalam barisan kepemimpinan persatuan negeri tidak akan mengganggu fokus pemain kepada misi mempertahankan maruah pasukan itu dalam Liga Super musim ini.

Presiden N9futbol.com, Ahmad Zaini Baharun berkata, walaupun mungkin wujud sedikit kesan, tetapi penyokong mengharapkan ia tidak menjejaskan komitmen mereka kepada pasukan.

"Saya yakin isu peletakan jawatan bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), tidak akan mempengaruhi atau memberi kesan ketara kepada persembahan pemain.

"Perjalanan persatuan itu dilihat masih berjalan lancar dan kami amat berharap pemain terus fokus kepada tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dalam mengharungi cabaran liga ketika ini.

"Tambahan pula, Negeri Sembilan kini amat memerlukan kemenangan dalam usaha untuk menyelamatkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan dan ia memerlukan komitmen tinggi setiap pemain," kata Zaini di sini, hari ini.

Mohamad yang menjadi Presiden PBNS sejak 2004 meletakkan jawatan pada 29 Mei lalu susulan perubahan kepemimpinan peringkat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Zaini berkata, penyokong skuad Hobin Jang Hobin amat berharap persembahan pasukan itu dapat ditingkatkan lagi kerana cabaran dalam liga dilihat semakin sukar ketika ia menghampiri penghujung.

Berita Harian X