Ahad, 17 Jun 2018 | 11:01pm
SEBAHAGIAN pemain Negeri Sembilan kembali menjalani latihan menghadapi Pahang. - Foto FB Team N9FC

Skuad hobin jang hobin korban cuti raya

SEREMBAN: Selepas cuti Aidilfitri, Negeri Sembilan (NS) kembali fokus kepada persiapan menghadapi saingan Liga Super menentang Pahang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, pada Selasa.

Ketua Jurulatih, Mario Lemos, berkata pemain terpaksa bercuti dalam tempoh singkat kerana mereka mempunyai tugas besar menggalas cabaran pasukan selepas tewas 0-2 kepada Perak di Ipoh.

Katanya, persiapan lebih rapi perlu dilakukan kerana cabaran menentang Pahang bukan mudah walaupun skuad Hobin Jang Hobin mempunyai kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

"Kami perlu segera kembali ke padang latihan bagi mempersiapkan pasukan kerana Pahang adalah lawan yang hebat dan pemain saya tidak boleh hilang fokus andai mahu mendapatkan kemenangan.

"Tambahan pula selepas pertembungan dengan Perak tempohari, terdapat beberapa pemain cedera dan saya mengharapkan mereka kembali cergas untuk memastikan kekuatan pasukan tidak terjejas.

"Pemain perlu lupakan seketika sambutan perayaan demi untuk memastikan fokus diberikan kepada saingan liga dan misi memburu kemenangan keempat musim ini," katanya di sini, semalam.

Lemos akui betapa dia perlu menyenaraikan barisan terkuat dan strategi terbaik esok bagi mengimbangi kekuatan skuad Tok Gajah serta memastikan keputusan memuaskan dapat dicapai.

Pengendali berasal dari Portugal berusia 34 tahun itu mengharapkan anak buahnya dapat memanfaatkan kelebihan yang dimiliki untuk bangkit mencipta kemenangan bagi memperbaiki kedudukan ke-11 dalam carta ketika ini.

"Kami amat memerlukan kemenangan dalam baki saingan liga dan berharap rekod baik di gelanggang sendiri sebelum ini dapat diteruskan pada perlawanan menentang Pahang nanti," katanya.

Dalam pada itu, Lemos juga mengharapkan Nicolas Velez yang tidak beraksi pada dua aksi lalu kerana kurang cergas dapat diturunkan esok.

"Saya perlu menurunkan semua pemain utama dan mengharapkan mereka cergas untuk memudahkan persiapan dalam memastikan usaha kita mendapatkan kemenangan Selasa nanti, tercapai," katanya.

Berita Harian X