Isnin, 18 Jun 2018 | 5:40pm
JURULATIH baru Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah (kanan) ketika sesi latihan skuad Negeri Sembilan di padang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seremban 3. - Foto Adzlan Sidek

NS tak rela longlai di Paroi

SEREMBAN: Negeri Sembilan bertekad untuk mengulangi aksi cemerlang ketika menewaskan PKNS FC apabila melayan kunjungan Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Sebelum ini, Negeri Sembilan berjaya mengejutkan PKNS 2-1 di gelanggang sendiri itu.

Penolong kapten, Mohd Fauzan Dzulkifli, berkata biarpun Pahang  diakui antara pencabar terkuat dalam liga utama itu, namun dia dan rakan sepasukan tidak rela berputih mata malah sedia memburu kemenangan.

"Kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk memastikan tiga mata dalam genggaman pasukan.

"Walaupun kami tahu Pahang memiliki reputasi besar, tapi saya amat berharap rakan sepasukan dapat memberikan komitmen 100 peratus bagi memastikan pasukan dapat mempamerkan aksi lebih bertenaga seterusnya mencapai kemenangan.

"Kemenangan amat penting bagi kami untuk keluar daripada kelompok terbawah carta dan walaupun malam esok amat mencabar tapi kami perlu merealisasikan kemenangan," katanya di sini, hari ini.

Fauzan berkata, dia juga yakin rakan-rakan dalam skuad Hobin Jang Hobin sudah bersedia untuk mempertahankan maruah pasukan.

Bekas kapten PKNS itu juga percaya semua pemain sudah dapat memahami perancangan dan kehendak pengendali skuad itu, Mario Lemos apa yang perlu dilakukan oleh pemain pada pertembungan itu nanti.

"Amat penting bagi kami untuk memberikan persembahan terbaik dan tidak melakukan kesilapan mudah yang akhirnya boleh menyebabkan kekecewaan," katanya.

Sementara itu, penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali bertekad untuk  mempertahankan gawang pasukan daripada dibolosi lawan.

"Saya sedar tugas kami amat mencabar kerana Pahang bukan calang pasukan, tapi saya yakin jika semua pemain dapat melaksanakan dengan baik, Pahang boleh ditewaskan," kata pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Berita Harian X