Khamis, 21 Jun 2018 | 12:08pm
Kesebelasan utama pemain Negeri Sembilan ketika menentang Pahang pada perlawanan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban. - Foto Adzlan Sidek

NS wajib menang baki 6 aksi

SEREMBAN: "Selagi peluang masih ada, kami tidak akan berputus asa dan akan tetap dengan fokus untuk memastikan pasukan terus kekal dalam Liga Super musim depan," kata penolong kapten Negeri Sembilan, Mohd Fauzan Dzulkifli.

Tonggak pertahanan itu sedar, pasukannya perlu memanfaatkan baki enam perlawanan untuk mendapatkan kemenangan bagi mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Berada di tangga kedua tercorot carta liga selepas hanya mengumpul 12 mata hasil tiga kemenangan dan tiga seri, skuad Hobin Jang Hobin perlu bangkit dengan aksi lebih bertenaga pada perlawanan akan datang.

"Kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali memastikan kemenangan pada baki enam perlawanan. Tetapi, peluang masih ada untuk kami keluar daripada zon penyingkiran jika mampu memanfaatkan baki perlawanan itu," katanya.

Bekas kapten PKNS FC itu berkata, sasaran yang ingin dicapai itu masih boleh direalisasikan kerana jurang mata dengan pasukan terdekat seperti PKNP FC, Kuala Lumpur dan Selangor tidak terlalu jauh.

Fauzan bagaimanapun mengakui, cabaran yang bakal dihadapi amat getir kerana masing-masing mahukan kemenangan untuk mengelak menerima nasib tersingkir ke Liga Perdana.

"Saya amat berharap rakan sepasukan dapat kekalkan fokus ke arah merealisasikan sasaran yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) itu," katanya.

Skuad bimbingan Mario Lemos mula menunjukkan peningkatan dalam persembahan sebaik dia mengambil alih tugas itu bermula 11 Mei lalu apabila menang ke atas Kelantan 2-0, pada 26 Mei disusuli menewaskan PKNS 3-1, pada 3 Jun.

Bagaimanapun rentak cemerlang itu tersekat apabila seri 1-1 dengan Perak di laman sendiri (6 Jun) dan tewas 0-2 kepada pasukan sama di gelanggang lawan (9 Jun), dengan terbaru tunduk kepada Pahang,1-3, di Paroi, Selasa lalu.

Berita Harian X