Isnin, 25 Jun 2018 | 2:10pm
MARIO Lemos.

NS sedia bangkit

 

SEREMBAN: Kurangkan kesilapan dan meningkatkan ketajaman penyudah menjadi fokus utama Negeri Sembilan menjelang pertembungan dengan Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Super, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok.

 Ketua jurulatih, Mario Lemos berkata, pihaknya berpuas hati dengan persiapan yang diadakan terhadap skuad bimbingannya itu berbanding ketika perlawanan menentang Pahang, di Paroi, 19 Jun lalu.

 "Setakat ini persiapan kami untuk menentang Terengganu malam esok berjalan lancar berbanding ketika berdepan Pahang tempohari kerana terganggu sedikit dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

 "Malah, kesemua pemain utama berada pada tahap kecergasan terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaan serta berpeluang untuk diturunkan pada perlawanan itu nanti.

 "Fokus utama kami adalah untuk meningkatkan lagi tahap persembahan dan memastikan setiap kesilapan yang dilakukan ketika perlawanan menentang Pahang, baru-baru ini, tidak berulang," katanya, di sini, hari ini.

s

 Pengendali berasal dari Portugal berusia 34 tahun itu juga turut memberikan penekanan kepada kekuatan bahagian pertahanan susulan bolos tiga gol kepada Pahang.

 Justeru itu katanya, pihaknya mungkin membuat sedikit perubahan dari segi barisan kesebelasan utama yang akan diturunkan nanti, dalam memastikan skuad Hobin Jang Hobin mampu memberikan tentangan sengit kepada TFC dan meraih keputusan positif.

 "Tidak banyak perubahan yang boleh dilakukan dari segi senarai pemain, tapi saya mempunyai beberapa pilihan kerana semua pemain sedia untuk beraksi dan mungkin mereka yang lebih berpengalaman seperti Nasriq Baharom dan Fauzan Fauzi, antara yang akan menjadi taruhan di bahagian pertahanan.

 "Saya juga mengharapkan gandingan Angel Guirado, Nicolas Velez dan Thanabalan dapat melakukan sesuatu yang lebih baik dalam usaha merobek gawang Terengganu dan memastikan kemenangan," katanya.

 Lemos sedar, pasukan yang mula dibimbingannya pada 11 Mei lalu, amat memerlukan kemenangan dalam usaha memastikan kekal di liga utama sekali gus mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

 "Saya berharap menerusi persiapan yang lebih baik dan lancar ini, kami mampu memperoleh hasil yang baik yang kami perlukan dengan membawa pulang mata dari Kuala Terengganu," katanya.

Berita Harian X